Home Nasional Kes sembuh tertinggi, 22,657 kes dalam tempoh sebulan

Kes sembuh tertinggi, 22,657 kes dalam tempoh sebulan

Petugas kesihatan menolak orang awam yang disyaki positif Covid-19 bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Negara mencatatkan kes sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan yang lalu iaitu sebanyak 22,657 kes, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jika dibandingkan pada 25 Julai lalu, jumlah kes yang didiscaj daripada hospital adalah 1,562 orang.

Jelas beliau, jumlah itu meningkat kepada 2,153 orang semalam dan ia adalah petanda yang positif.

“Walaupun pada hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal 1 dan 2 semasa didiagnosa, iaitu 23,939 kes bersamaan 97.3 peratus daripada keseluruhan kes pada hari ini.

“Sebanyak 660 kes atau 2.7 peratus pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.
Ini seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, sehingga semalam, sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia di mana 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

Kata beliau, secara keseluruhan, 19,761 kes atau 80.3 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5.

“Rakyat dinasihatkan untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin dan hadir pada tarikh temujanji seperti yang telah dijadualkan.

“Di samping itu, kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu terus diamalkan walaupun telah menerima dos vaksin lengkap,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 393 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 125 kes di Selangor, 61 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 48 kes di Johor, 33 kes di Melaka dan 31 kes di Pulau Pinang,.

Ia disusuli 26 kes di Sabah, 20 kes di Negeri Sembilan, masing-masing 15 kes di Kedah dan Perak, sembilan kes di Kelantan, lapan kes di Pahang, serta dua kes di Terengganu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengenal pasti 35 kluster baharu yang menjadikan jumlah 1,471 kluster sedang aktif,” katanya. – MalaysiaGazette