Home Nasional Pemberhentian GP dalam program vaksinasi sementara

Pemberhentian GP dalam program vaksinasi sementara

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menawarkan Sinovac sebagai pilihan dos penggalak adalah terhad ketika ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (PICK) menjelaskan keputusan untuk menghentikan penglibatan pengamal perubatan am swasta (GP) dalam program vaksinasi untuk sementara waktu telah dibuat setelah meneliti pelbagai faktor.

Ia termasuk data di atas iaitu kapasti Pusat Pemberian Vaksin (PPV), jumlah vaksin, bekalan vaksin serta bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Oleh itu, PICK dalam kenyataan di sini berkata, tiada lagi janji temu yang akan diberikan kepada GP di Lembah Klang buat masa ini.

Situasi ini adalah untuk tempoh sementara dan sejajar dengan cara PICK dilaksanakan iaitu dengan mengusahakan agar kadar vaksinasi dicatatkan pada kadar tinggi secepat yang mungkin, kata kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan di sini.

PICK mengakui tinjauan rambang menunjukkan masih ada lagi di Lembah Klang yang masih belum disuntik vaksin, begitu juga dengan pendaftaran baharu untuk PICK yang masih diterima melalui MySejahtera.

Namun, kebanyakan daripada pendaftaran baharu ini ialah daripada warga asing, menyebabkan PICK perlu memastikan satu susunan pendekatan sementara diambil kira demi kelancaran.

”Antaranya, kami memberi penekanan kepada aturan logistik dan operasi yang cekap. Begitu juga dengan skala dan kelajuan pelaksanaan vaksinasi di Lembah Klang, terutamanya mempertimbangkan keperluan untuk meneruskan momentum kawalan pandemik yang disaksikan di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

”Menjadi pertimbangan kami juga ialah keperluan PPV yang digunakan untuk warga asing mempunyai kemudahan tertentu seperti papan tanda dalam berbagai bahasa, penterjemah dan petugas yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan warganegara asing,” tambah mereka.

Menurutnya, penglibatan GP di negeri-negeri selain di Lembah Klang berjalan seperti biasa buat masa ini.

Untuk masa hadapan, keperluan seperti dos penggalak, vaksinasi remaja (umur 12-17 tahun) serta vaksinasi berterusan untuk pendaftar baru adalah di bawah Kementerian Kesihatan.

Pengoperasian keperluan ini memerlukan perbincangan teliti, termasuklah menerima pandangan pakar untuk digubal menjadi polisi dengan kelulusan di pelbagai peringkat.

”Pendek kata, pengumuman penglibatan GP dan pihak yang lain akan diputuskan sejajar dengan tatacara yang akan diatur untuk keperluan ini.

”Oleh itu, kami ingin menyeru GP, terutamanya di Lembah Klang untuk terus teguh bersama kami dalam menjayakan PICK. Kami percaya, sekiranya gandingan yang kita saksikan selama ini terus diperkukuhkan, perjuangan memerangi Covid-19 akan pastinya menghasilkan satu kejayaan demi negara. – MalaysiaGazette