Home Sukan Pep Guardiola akan tinggalkan Etihad pada Jun 2023

Pep Guardiola akan tinggalkan Etihad pada Jun 2023

Pep Guardiola menggemparkan dunia dengan berita beliau akan meninggalkan Etihad pada Jun 2023 untuk mengejar impiannya menguruskan pasukan Piala Dunia. Foto kredit: Manchester City via Getty Image

LONDON – Pep Guardiola hari ini menggemparkan dunia bola sepak dengan berita akan meninggalkan Etihad sejurus selepas kontrak semasa bersama kelab Manchester itu tamat.

Kontrak semasa Pengurus Manchester City itu akan berakhir pada Jun 2023.

Bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu menegaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada bola sepak antarabangsa, sekali gus memberi bayangan sudah bersedia untuk mengejar impiannya memikul tugas jurulatih pasukan kebangsaan peringkat antarabangsa.

Berita berkenaan juga memberi kebimbangan kepada kelab juara England itu.

Pep, 50, menerajui pasukan biru langit itu sejak 2016 dan menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali setakat ini dan harapan tinggi masih diletakkan di atas bahunya untuk membantu kelab Manchester menjulang kejuaraan Liga Eropah sebelum meninggalkan kelab itu.

Guardiola bekerja keras untuk menambah edisi pasukan dengan penjaring gol berkaliber musim ini.

Bagaimanapun beliau terpaksa melupakan hasrat membeli Harry Kane memandangkan Kapten England itu akhirnya menamatkan spekulasi dengan mengesahkan dia akan kekal bersama pasukan North Londoners musim ini.

Pep menegaskan dia mahu berehat sebentar daripada aktiviti bola sepak selepas Jun 2023.

Persediaannya untuk memulakan tugas bola sepak antarabangsa bersama pasukan kebangsaan sudah ditetapkan bagaimanapun tidak memperincikan pasukan kebangsaan yang dia akan ambil alih kejurulatihannya.

“Pasukan kebangsaan..ya, langkah saya yang seterusnya adalah pasukan kebangsaan.

“Saya memerlukan rehat selepas tujuh tahun mengemudi kelab bola sepak (Etihad) dan dari sini mahu belajar dengan jurulatih kebangsaan lain, mungkin itulah perjalanan saya yang ditakdirkan lepas ini.

“Saya lebih cenderung untuk melatih pasukan kejuaraan Eropah, Copa Amerika dan pasukan Piala Dunia dan fokus saya kini mengejar impian itu selepas meninggalkan Etihad nanti,” katanya pada Rabu.

Selepas mengemudi Barcelona dengan kejuaraan La Liga dan tiga gelaran Liga Juara Eropah antara 2008 hingga 2011, Pep berehat selama setahun sebelum menguruskan pasukan gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich dan kemudian tiba ke EPL.

Kini misi yang perlu dicapai Guardiola bersama Man City adalah menjulang Piala Liga Juara Eropah selepas gagal dalan misinya musim lalu setelah tewas kepada Chelsea dalam aksi final.-Dailymail.com.