Mbappe, 22, dilaporkan memberitahu Paris Saint-Germain bahawa dia mahu meninggalkan Parc des Princes.
Masa depan bintang Perancis bersama gergasi Ligue 1 itu menimbulkan tanda tanya sejak kehadiran Lionel Messi di ibu kota Perancis.
Real yang sekian lama berminat dengan bekas pemain Monaco itu mula mengintai peluang selepas perpindahan Messi dan menurut talkSPORT, Los Blancos sedia membida £137 juta (RM792 juta) untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia itu.
Baru-baru ini, Mbappe menolak tawaran kontrak lanjutan susulan perjanjian lamanya tamat musim panas akan datang dan memberitahu PSG dia mahukan cabaran baharu.
PSG boleh menjual mesin gol mereka itu bagi menyeimbangkan kewangan selepas mendapatkan Messi terutamanya apabila kontrak Mbappe tamat musim panas depan.
Mbappe menandatangani kontrak tetap bernilai 180 juta euro (RM916.2 juta) pada tahun depan dalam usaha untuk mengelak PSG melanggar peraturan `UEFA’s Financial Fair Play’.
Sebelum itu kelab tersebut turut menggegarkan bola sepak dunia dengan menandatangani bintang Brazil, Neymar yang membabitkan perjanjian bernilai 222 juta pound sterling (RM1.22 bilion). – MalaysiaGazette