KUALA LUMPUR – Dilantik semula sebagai menteri kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali komited memastikan pemulihan berterusan serta pengukuhan pertumbuhan ekonomi.
Beliau akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Kita perlu tegas melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diperkenal kerana ia diperlukan untuk pertumbuhan Keluaran dalam negara kasar (KDNK), mencipta pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.
“Demi masa hadapan, kebijakan sosio-ekonomi mesti terus menjana kekayaan demi pengagihan saksama di kalangan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelasnya, ketika negara berusaha ke arah pemulihan, semua pihak seharusnya memastikan bahawa rakyat memiliki sumber-sumber khusus yang diperlukan untuk memartabatkan darjat ekonomi (economic dignity) dan mengambil bahagian secara aktif dan merperoleh kejayaan selari dengan pertumbuhan ekonomi negara ini.
“Dalam hal ini, dasar sosio-ekonomi kita perlu berani dalam perancangan dan penyampaian untuk menjana kekayaan kepada rakyat agar dapat diagihkan dengan adil.
“Perdana Menteri telah memberikan jaminan, aspirasi golongan muda akan didengar dan diberikan keutamaan.
“Ini bukan sahaja langkah yang progresif, tetapi sikap keterbukaan bagi golongan ini menyempurnakan prinsip pendemokrasian. Anak muda kita melambangkan masa hadapan negara,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan dinamisme, inovasi dan kreatitiviti yang merupakan elemen-elemen penting yang anak muda ini ada, ini sekali gus dapat memacu pembangunan negara ke barisan hadapan di peta dunia.
“Barang diingat, kita perlu sentiasa bersama denyutan nadi rakyat dan bernafas dengan idealisme dan harapan mereka.
“Ini adalah kerajaan rakyat untuk rakyat berteraskan prinsip tata kelola yang telus, ehsan dan bertanggungjawab.
“Ayuh, mari kita menggilap kekuatan di atas landasan perpaduan serta mebulat tekad dan iltizam demi memperkukuhkan gerak kerja kearah kejayaan Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut berkata, dengan pelbagai tentangan krisis ekonomi dan kesihatan yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, kita perlu bermula daripada kekuatan yang dibangunkan dengan asas perpaduan, kesatuan dan kebersamaan.
“Kadar vaksinasi Covid-19 Malaysia terus menjadi antara yang terpantas di dunia dan jumlah kes kemasukan ke hospital telah menurun, kita perlu memberikan penghargaan kepada para barisan hadapan atas usaha, dedikasi, kerja keras, dan daya ketahanan yang tinggi.
“Kita juga perlu memastikan momentum ini berterusan dan ekonomi negara terus mara di atas pertumbuhan yang mampan dan pemulihan yang lestari,” katanya.
Mohamed Azmin antara 16 menteri yang kekal dengan portfolio selepas pengumuman barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- MalaysiaGazette