Home Nasional Tubuh jawatankuasa MPN lancarkan usaha perangi Covid-19

Tubuh jawatankuasa MPN lancarkan usaha perangi Covid-19

Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Putra Ahmad Nerang Putra.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) disaran supaya menubuhkan jawatankuasa di bawah Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi melancarkan usaha memerangi  Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi.

Ia perlu dilibatkan pakar-pakar dalam bidang kesihatan dan ekonomi agar pemulihan dapat dilaksanakan dengan cepat, kata Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tunku Muinuddin Putra Tunku Ahmad Nerang.

Menurutnya, bagi usaha pemulihan kesihatan, perlu dikuatkuasakan peraturan tegas untuk mewajibkan vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Malah, usaha vaksinasi seharusnya dijalankan dengan cepat dan meluas agar negara dapat mencapai imuniti kelompok pada akhir bulan Oktober.

“Bagi usaha pemulihan ekonomi, negara perlu mengambil pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara maju yang lain seperti mengenakan perintah kawalan pergerakan secara bersasar. Pada masa yang sama, penguatkuasaan SOP perlu dijalankan dengan tegas dan cekap.

“Pihak swasta juga perlu ikhlas dan saling tolong-menolong dalam memastikan rakyat tidak terbeban. Pihak bank perlu memainkan peranan yang berani untuk membaik pulih ekonomi negara tanpa menghancurkan syarikat-syarikat kecil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tunku Muinuddin Putra  yakin dengan kerjasama  semua pihak termasuk kolaborasi politik antara kerajaan dan PH akan memperkukuhkan kestabilan politik, seterusnya ekonomi negara.

Ujarnya, semangat itu perlu diteruskan hingga PRU-15 agar negara kembali ke landasan yang betul, sebagai Harimau Asia dalam ekonomi seperti pada era 90-an.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertujuan untuk mengadakan kerjasama rentas parti bagi mewujudkan kestabilan politik menerusi kebersamaan.

Langkah itu dipercayai turut berkaitan penyertaan pembangkang dalam MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. – MalaysiaGazette