TANGGAL 31 Ogos setiap tahun menjadi detik bersejarah yang penuh bermakna buat sekalian warganegara Malaysia. Pada Tarikh inilah, Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu berjaya menuntut kemerdekaan daripada pihak British yang sekian lama menjarah kedaulatan kita. Kibaran Jalur Gemilang sewaktu sambutan kemerdekaan menjadi manifestasi kebanggaan dan kesyukuran setiap anggota masyarakat atas kurniaan tidak terhingga ini. Jalu Gemilang sebagai simbolik bagi setiap warga Malaysia supaya dapat menggemilangkan diri dengan sifat kemanusiaan dan dimuliakan Allah SWT dengan moral dan akhlak terpuji.
Bendera mempunyai nilai dan kedudukannya tersendiri dalam menzahirkan kedaulatan dan keagungan sesebuah tamadun silam. Sejarah Islam pernah mencatatkan peristiwa Perang Mu’tah yang tercetusnya antara kerajaan Rom yang mengumpulkan bala tenteranya untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Madinah. Menjadi tradisi ketika itu, istiadat pengurniaan bendera kepada panglima atau ketua pasukan sebagai amanah yang wajib dipertahankan daripada serangan dan penghinaan pihak musuh.
Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut, Rasulullah SAW telah mengamanahkan panji bendera tentera Islam kepada Zaid bin Harithah. Ditakdirkan Zaid telah menemui syahid lebih awal dalam peperangan tersebut. Seterusnya, amanah tersebut disambung oleh Jaafar bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat juang yang luar biasa ketika itu. Para musuh berusaha memastikan bendera Islam yang dijulang oleh Jaafar di tangan kanannya segera rebah. Ini sebagai simbolik kemenangan moral dan penguasaan mereka terhadap tentera Islam.
Namun, situasi sebaliknya pula yang berlaku. Jaafar ternyata bertempur dengan penuh berani meskipun tangan kanannya berjaya dipotong oleh pihak musuh. Tanpa membuang masa, beliau segera mengalihkan bendera tersebut ke tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, bendera itu lalu diapit dengan dua belah lengannya. Dalam situasi getir ini, beliau masih terus berusaha menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid.
Ibn Umar RA menceritakan, semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya. Ketika Jaafar gugur syahid selepas menempuhi pertarungan yang sengit itu, maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Beliau seterusnya memecut kudanya mara ke hadapan meneruskan legasi keberanian panglima terdahulu yang telah menemui syahid.
Begitulah nilai bendera dalam kalangan sahabat yang bangga dengan Islam dan penampilan akhlak terpuji mempertahankan Islam daripada sebarang pencerobohan luar. Sekurang-kurangnya bendera itu mencetuskan semangat dan daya juang tentera Islam untuk terus berjuang menegakkan hingga titisan darah terakhir. Dalam konteks Malaysia, Jalur Gemilang menjadi identiti dan lambing kedaulatan bangsa Malaysia. Penciptaan bendera ini diilhamkan menerusi satu pertandingan reka cipta bendera peringkat kebangsaaan pada Mei 1948.
Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Akhirnya, karya seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Encik Mohamed Bin Hamzah mendapat majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950 dengan sedikit pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih diganti dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja.
Bendera ini mula berkibar buat julung kalinya pada 26 Mei 1950, di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran ini dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney iaitu Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, sebagai simbolik kedaulatan dan kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu.
Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah. Jalur Bendera Malaysia melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri manakala 1 jalur mewakili Kerajaan Persekutuan. Gemilang pula bermaksud bercahaya terang benderang dan cemerlang. Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu serta boleh menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara.
Tunjang keutuhan sesebuah negara sebenarnya berpaksikan kepada kesetiaan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi setiap warga terhadap negara. Kecintaan terhadap tanah air merupakan fitrah asas setiap warga tanpa mengira agama, etnik, kelas sosial dan jantina. Kecintaan ini pula diterjemahkan menerusi semangat mempertahankan kedaulatan negara, bangga menjadi warganya, menjunjung ketinggian Perlembagaan dan Rukun Negara, berkorban atas nama negara dan sentiasa mempertahankan maruah atau kemerdekaan negara.
Namun mutakhir ini, kita digemparkan dengan beberapa insiden penghinaan terhadap Jalur Gemilang. Perbuatan menukar warna dan lambang bendera, membakar bendera, menterbalikkan lambang kebesaran bendera dan tidak berdiri tegak ketika Jalur Gemilang dikibar bersama lagu Negaraku amat dikesali. Malah, ada pula yang mempersenda lambang Jalur Gemilang dengan meletakkan bendera di tempat yang bertentangan dengan penerimaan umum seperti pada pakaian renang dan selipar.
Nilai patriotisme merupakan ramuan penting dalam melahirkan rasa bangga terhadap negara serta menguatkan lagi perpaduan, kesetiaan, perjuangan dan pengorbanan terhadap bangsa dan negara. Nilai ini mampu mencetuskan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan kedaulatan negara seterusnya memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi. Ketiadaan nilai ini hanya akan menzahirkan identiti bangsa yang lemah, mudah berputus asa, kurang daya juang dan rapuh jati diri.
Kegemilangan tamadun sesebuah bangsa sangat berkait rapat dengan semangat patriotik yang wujud dalam diri setiap warganya. Nilai patriotik juga diterjemahkan menerusi penghormatan terhadap lambang dan simbol yang menjadi tanda kedaulatan negara seperti bendera dan lagu rasmi. Simbol ini berperanan memupuk taat setia dan bangga kerana dianggap sebagai identiti penting yang mencerminkan maruah sesebuah bangsa dan negara.
Perbezaan ideologi dan sokongan politik seharusnya tidak dipamerkan menerusi tindakan-tindakan kontroversi seperti menterbalikkan Jalur Gemilang, tidak menghormati lagu kebangsaan, kegagalan menguasai bahasa kebangsaan serta pudarnya semangat patriotik dalam sambutan kemerdekaan. Umat Islam di negara ini wajib bersyukur atas nikmat kemerdekaan tidak ternilai ini. Seiring laungan kemerdekaan berkumandang seluruh negara, bendera Jalur Gemilang perlu dikibarkan sebagai cermin kegemilangan Malaysia mewujudkan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama sebagai masyarakat harmoni dan sejahtera.
Oleh: Dr Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka &
Muhammad Hilmi Mat Johar
Pensyarah
Fakulti Keilmuan Islam
Kolej Universiti Islam Melaka