KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedikasikan kejayaan juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut sejak 2014 kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja sepenuh hati ketika penularan wabak pandemik Covid-19 di negara ini.
Beliau berkata, hadiah wang kemenangan Liga Super musim ini juga dititahkan supaya didermakan ke tabung untuk keluarga-keluarga petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus sejak setahun lalu.
“JDT mendedikasikan gelaran Liga Super Malaysia kelapan kami kepada semua barisan hadapan yang berusaha keras sepanjang wabak Covid-19 ini.
“Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) juga memutuskan agar JDT menyumbangkan wang hadiah liga kepada dana untuk keluarga barisan hadapan,” katanya di laman sosial Johor Southern Tigers (JST).
JDT dilaporkan akan meraih hampir RM500,000 selaku juara Liga Super seperti musim sebelumnya namun jumlah berkenaan tidak tetap di mana ia bergantung kepada jumlah sebenar tajaan yang diraih setiap musim.
Pemberian derma ini bukanlah yang pertama buat skuad Harimau Selatan sebaliknya kelab ini antara pasukan Liga M yang kerap menyumbang bantuan berupa wang tunai mahupun barangan keperluan.
JDT pernah menyumbangkan semua wang kemenangan yang diperoleh sejak 2013 kepada Yayasan JDT.
Ia termasuk hadiah wang kejuaraan Liga Super dan wang ganjaran daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam saingan Liga Juara-Juara (ACL) dan Piala AFC.
Yayasan berkenaan kemudiannya menyalurkan sumbangan itu kepada mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan. – MalaysiaGazette