KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik pembentukan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Ismail untuk mentadbir Putrajaya.
“Pas beri sepenuh kepercayaan kepada perdana menteri dan Jemaah Menteri untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas masing-masing dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan,” kata Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.
Menurut beliau, tiba masanya untuk rakyat negara ini bersama-sama Ismail Sabri dalam membantu memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.
“Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik, bukan masa untuk politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara secara menyeluruh,” kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Pas yang mempunyai 18 kerusi dalam kerajaan pentadbiran Ismail diberikan tiga kerusi menteri penuh dan lima jawatan Timbalan Menteri.
Mereka adalah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Senarai Timbalan Menteri daripada Pas pula adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Timbalan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Mohamed @ Hashim dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Manakala Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan barisan Kabinet baru selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan. – MalaysiaGazette