KUALA LUMPUR – Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian usaha sama multi-filem dengan komitmen untuk
menghasilkan bersama 12 filem dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim berkata, hasil produksi itu diharap dapat membaik pulih industri perfileman tempatan yang telah terjejas teruk kerana wabak Covid-19.
Katanya, ia bukan sahaja akan memberi dorongan kepada industri filem dan produksi
tempatan, tetapi juga akan memberi peluang untuk kandungan Malaysia dipersembahkan di peringkat antarabangsa.
“Tremendous Entertainment adalah syarikat terkemuka dalam penghasilan kandungan hiburan di kedua-dua ruang Pentas dan Media. Dengan kekurang konten hiburan secara langsung dalam keadaan pandemik, kami mengambil kesempatan ini untuk fokus kepada industri media kami dalam 18 bulan ini
“Penghasilan filem-filem dengan Zebra Studio adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami untuk memanfaatkan bakat dan infrastruktur yang lebih eksponen
di Malaysia untuk menghasilkan konten filem bertaraf antarabangsa”, kata dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menerusi perjanjian itu, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio akan menghasilkan lima filem dialek Melayu di sekitar Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor, dan empat filem tempatan dialek Cina yang difokuskan di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Di samping itu, akan ada tiga filem tempatan berbahasa Inggeris yang akan dihasilkan bersama dan difilemkan di negara jiran termasuk Korea, China, Indonesia, India dan banyak lagi sejumlah 12 filem dalam dua tahun yang akan datang.
Filem pertama dari 12 filem telah selesai dan penggambaran untuk filem kedua akan bermula pada bulan depan dengan penerbitannya bermula pada Oktober ini.
Mengulas lanjut, Lim menambah, perjanjian itu menuju kepada visi syarikat untuk memperluas Tremendous Entertainment ke arah pendigitalan ketika pihaknya beralih dari pameran acara “stage play” untuk menghasilkan kandungan media digital ke filem.
“Kami teruja dapat bekerjasama dengan CL Hor dan Sara Nattaya Azmi dari Zebra Studio untuk menghasilkan dan membuat filem-filem ini dengan niat untuk mempamerkannya kepada dunia, kerana kami percaya bahawa kandungan yang dihasilkan oleh Malaysia berpotensi tinggi untuk berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara, Pengarah dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi menyifatkan Tremendous Entertainment adalah salah satu syarikat hiburan terkemuka di Asia Pasifik yang telah menghasilkan dan mempersembahkan beberapa tajuk hiburan paling terkenal di dunia.
“Dengan usaha sama ini, kami berharap penghasilan 12 filem ini dapat membantu membina semula dan memudahkan pemulihan industri perfileman tempatan yang membolehkan kami bersama-sama mencipta lebih banyak kandungan global.
“Ia bertujuan untuk mendapatkan sorotan antarabangsa mengenai filem dialek khas seni dan budaya Malaysia dan memberi peluang kepada seniman tempatan kita untuk berjaya di peringkat global,” katanya.
Diketuai oleh pemenang pengarah anugerah antarabangsa iaitu CL Hor, Zebra Studio mempunyai ekosistem pengeluaran yang dilengkapi dengan teknologi terkini mulai dari kemudahan audio hingga pos dan VFX.
Bersinergi dengan pasukan kreatif yang mahir dari Zebra Pixel yang diketuai oleh Penyelia VFX Hollywood Jae Cheol Hong, Zebra Studio dan Pixel dapat memperkaya kandungan Malaysia melalui penghasilan dan konseptualisasi kandungan inovatif di platform media tradisional dan baru.
CL Hor berkata, ia adalah produksi bersama syarikat filem tempatan pertama yang berlakuselama lebih dari satu abad di industri filem Malaysia.
“Dengan inisiatif ini, kami ingin memberikan harapan dan sokongan kepada rakan-rakan industri kami semasa wabak ini merebak.
“Konsep saya adalah untuk membawa kandungan tempatan untuk dipasarkan di
peringkat antarabangsa dan menjadikan Malaysia tempat untuk menghasilkan kandungan
antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette