Home Nasional CanSino mampu tingkat kadar imunisasi di Sabah – PM

CanSino mampu tingkat kadar imunisasi di Sabah – PM

National Recovery Plan PPN Phase 1 Phase 2 Klang Valley Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 29 AUGUST 2021.
Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 29 AUGUST 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menghantar 200,000 dos vaksin Covid-19 CanSino ke Sabah kerana negeri itu mempunyai banyak kawasan pedalaman dan tidak memerlukan dua suntikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memudahkan rakyat di sana mendapatkan vaksin tanpa perlu berulang-alik ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“CanSino ini dianggap dua dos, sebab itu kita hantar Cansino ini ke Sabah kerana banyak kawasan pedalaman. Kita tidak mahu menyusahkan penduduk di kawasan pedalaman yang terpaksa untuk mendapatkan dos kedua mereka perlu keluar lagi.

“Jadi kita beri satu dos yang bersamaan dengan dua dos untuk vaksin lain, sekali saja (suntikan).

“Saya difahamkan kita akan hantar 200,000 dos ke Sabah,” katanya pada sidang media di PPV Mega Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ismail Sabri juga tidak menolak kemungkinan melalui penghantaran Cansino itu, kadar imunisasi yang rendah di Sabah mampu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang akhir September ini.

“Saya percaya penghantaran vaksin ini akan meningkatkan peratusan imunisasi yang rendah di Sabah, bukan sahaja Cansino.

“Malah kita juga akan hantar Sinovac dan sebagainya, ini supaya kawasan bandar boleh menggunakan Sinovac dan kawasan pedalaman CanSino,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta orang ramai agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meskipun telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Selain vaksin yang kita berikan, kita juga minta rakyat kita patuh kepada SOP. Sebab itu perkara paling utama, sebab dapat vaksin tidak bermakna tidak dijangkiti, cuma kesannya agak berkurangan.

“Mungkin mereka di peringkat 1 dan 2 tidak sampai 4 dan 5, tetapi mereka masih boleh dijangkiti.

“Jadi untuk mengelakkan jangkitan, kita mesti patuh kepada setiap SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette