KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan enam negeri untuk mencapai sasaran imunisasi Covid-19 sehingga 50 peratus dan lebih selewat-lewatnya hujung September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keenam-enam negeri itu adalah Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih belum mencapai sasaran i50 peratus yang ditetapkan sebelum 31 Ogos ini.
“Masih ada beberapa negeri belum mencapai 50 peratus vaksinasi, iaitu Terenganu sebanyak 46.2 peratus, Perak (46.3) Johor (44.19), Kelantan (43.2), Kedah (43) dan Sabah (37.1).
“Kita sudah berbincang dengan KSU, kita mesti menumpukan perhatian kepada enam negeri dan saya mahu sebelum akhir September ini, enam negeri ini mesti melebihi dari 50 peratus.
“Kalau boleh lebih awal lagi semua enam negeri ini mesti melebihi 50 peratus. Kita tak mahu lihat ada negeri yang kurang dari 50 peratus,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan pemberian vaksin Astra Vecenca kepada penerima ke sejuta vaksin Covid-19 di PPV Mega WTCKL.
Menurut Ismail Sabri, Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini telah berjaya memberikan vaksin kepada 37,724,744 penerima bagi dos pertama dan kedua di seluruh negara, setakat 28 Ogos ini.
“Penerima untuk dos pertama sebanyak 19,241,946 menjadikan peratusannya ialah 82.2 peratus, ini adalah populasi 18 tahun ke atas.
“Ini kerana kita masih belum memberikan vaksin kepada 18 tahun ke bawah, angka yang kita beri berdasarkan 18 tahun ke atas.
“Untuk dos kedua, seramai 14,487,972 dos menjadikan 61.9 peratus bagi dewasa,” katanya.
Jelasnya, pemberian vaksin secara purata telah melebihi dari 50 peratus di seluruh negara, seperti mana yang disasarkan sebelum ini menjelang akhir Ogos ini.
“Seperti yang kita sasarkan sebelum 31 Ogos, 50 peratus, tapi ianya telah melebihi daripada sasaran kita, itu jumlah di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette