Home Politik Ketua Penerangan AMK Johor letak jawatan

Ketua Penerangan AMK Johor letak jawatan

Omar Mokhtar Manap AMK Johor Keadilan Youth Information Chief resigns PKR
Omar Mokhtar Manap
MERSING – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar Manap meletakkan jawatannya secara sukarela berkuatkuasa serta merta.
Beliau berkata, Ketua AMK Johor, Yuneswaran Ramaraj telah menghubunginya untuk memaklumkan jawatannya dilucutkan atas beberapa sebab.
“Tak perlulah saya huraikan sebab-sebabnya tetapi saya menyifatkan sebagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut dan ianya lebih kepada kuasa prerogatif,” katanya yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Mersing ketika ditemui baru-baru ini.
Ujarnya, dia tidak pernah dimaklumkan puncanya sebelum ini sehingga jawatannya perlu dilucutkan walaupun telah bertemu Yuneswaran beberapa kali termasuk pada mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri AMK Johor pada Mac lalu.
“Sebagai penjelasan, saya membalas semua sebab yang dikemukakan dan pelucutan jawatan saya tiba-tiba ditangguh bagi mendapatkan laporan penuh.
“Melihat pada ‘perjalanan pelucutan jawatan’ ini, saya faham sepenuhnya ia  terkait hal kuasa prerogatif,” ujarnya.
Sehubungan itu, menurut Omar, jalan terbaik baginya adalah meletak jawatan demi keharmonian parti dan mengelak permainan politik dalaman yang merugikan.
Katanya, sebagai orang parti, beliau akan terus memberi komitmen penuh kepada parti walaupun tidak memegang sebarang jawatan bagi menjayakan usaha reformasi,” katanya.- MalaysiaGazette