KUALA LUMPUR – SeorangĀ pengarah sebuah syarikat menjadi mangsa sindiket penipuan apabila terpedaya mahu mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri Utama dan Tanah Kurnia’ yang kononnya dari Istana Negara.
Kejadian dilaporkan menimpa lelaki tempatan berusia 33 tahun itu pada 28 Mac lalu yang tidak menyedari pada awalnya ia ‘jerat’ sindiket penipuan yang mahu melesapkan wang mangsa sedangkan pengurniaan pingat kebesaran yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa yang mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran pingat kebesaran.
Katanya, dalam kes tersebut pengadu telah menerima panggilan dan dimaklumkan bahawa ‘Istana Negara’ akan mengurniakan gelaran Datuk Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan lima ekar.
“Pada hari yang sama juga, pengadu telah menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadi kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2, Istana Negara.
“Pada 6 April lalu, pengadu telah diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang telah diberikan oleh suspek.
“Kemudian, antara 30 April sehingga 17 Jun 2021, pengadu telah melakukan empat transaksi bayaran berjumlah RM247,000 ke atas satu akaun lain yang juga telah diberikan oleh suspek dan juga menyerahkan RM150,000 secara tunai kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Mahidisham, selepas bayaran itu dibuatĀ barulah pengadu mengesyaki sesuatu dan membuat semakan ke atas akaun yang diberikan sebelum mendapati akaun tersebut adalah atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
“Pengadu kemudian sedar rupa-rupanya dirinya ditipu suspek dan kes ini melibatkan kerugian berjumlah RM406,400 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Identiti masih belum diperoleh membabitkan suspek sementara pengadu cuma bercakap dalam telefon dan berjumpa sekali sahaja dengan suspek dan suspek terlibat dalam kes penipuan ini sedang diburu polis.- MalaysiaGazette