KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka menerima 3.5 juta dos vaksin Covid-19 jenis CanSino daripada pembekal, CamSino Biologics, China menjelang akhir tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 200,000 dos telah sampai pada 10 Ogos lalu manakala 300,000 dos lagi pada September ini.
“Kita telah pun beli dengan CanSino lebih kurang 3.5 juta dos. Jadi untuk fill and finish, kita buat tiga juta dos manakala 500,000 itu adalah fill and finish daripada syarikat pembekal di CanSino, China.
“Selebihnya vaksin dibekal dalam bentuk pukal, ada yang sampai 10 Ogos lalu itu ada ujian kestabilan oleh NPRA selama 14 hari, selepas itu boleh buat fill and finish.
“Kita telah menerima 200,000 dos dan telah dihantar ke Sabah serta beberapa negeri yang mana kita perlu capai imuniti kelompok atau 50 peratus sehingga September ini,” katanya pada sidang media di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia agar tidak perlu menunggu pembekal yang lewat menghantar vaksin ke negara ini.
Menurutnya, bagi mengelak bekalan vaksin terjejas, kerajaan memutuskan untuk mendapatkan bekalan anti virus itu daripada Pharmaniaga Berhad sebagai yang mampu membekalkan sehingga 6 juta dos Sinovac.
Dalam pada itu. Dr. Adham berkata, kerajaan telah diberi kelulusan bersyarat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk vaksin sedia ada termasuk Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac.
“Bagi Sinovac, fill and finish dilakukan oleh Pharmaniaga dan ada yang produk siap daripada Sinovac,” katanya.
Katanya lagi, CanSino adalah salah satu jalan penyelesaian kepada masalah kelewatan bekalan vaksin ke negara ini ke arah mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini.
“Kita perlu terus bergerak ke hadapan tanpa menunggu jika ada kelewatan daripada pembekal yang telahpun kita buat perjanjian pembuatan dan pembekalan sebelum ini dengan mereka,” katanya.
Tambahnya, selain enam juta dos Sinovac, penggunaan vaksin CanSino di kawasan pedalaman mampu membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.
“Perdana Menteri telah pun mengumumkan enam juta dos lagi iaitu vaksin Sinovac dua dos untuk diedarkan untuk mencapai imuniti lebih pantas.
“Ditambah pula dengan vaksin satu dos CanSino yang boleh kita guna di tempat-tempat terpencil dan kesukaran untuk mendapatkan mereka menerima dua dos,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: