Home Ekonomi Aset rizab rasmi negara berjumlah AS$111.06 bilion pada akhir Julai 2021

Aset rizab rasmi negara berjumlah AS$111.06 bilion pada akhir Julai 2021

Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Aset rizab rasmi negara berjumlah AS$111,059.5 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$183.5 juta pada akhir bulan Julai 2021.

Bank Negara Malaysia berkata, rizab antarabangsa itu yang berdasarkan format SDDS IMF yang memaparkan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$4,597.3 juta.

Bank Negara Malaysia berkata, aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara.

Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$7,464.2 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$180 juta pada akhir bulan Julai 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,371.4 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$386.4 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit. – MalaysiaGazette