Home Ekonomi IRDA tawar geran platform digital kepada PKS

IRDA tawar geran platform digital kepada PKS

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menawarkan geran khusus bagi tujuan membangunkan platform digital kepada peniaga individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di Johor.

JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menawarkan geran khusus bagi tujuan membangunkan platform digital kepada peniaga individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di Johor.

Ketua eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata ‘Iskandar Malaysia Startup Grant’ (IMSTART) yang diperkenalkan itu sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi dan inklusif wilayah tersebut bersempena dengan ‘Kempen Peringatan 15 tahun Iskandar Malaysia’ (IM15CC).

Beliau berkata, dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, seramai 200 individu dan PKS boleh mendapatkan bantuan sehingga RM10,000 untuk setiap perniagaan.

Geran itu akan memberi kelebihan kepada peniaga individu dan PKS untuk menghadapi cabaran semasa pandemik Covid-19  seterusnya meningkatkan kemampuan operasi dan capaian pasaran perniagaan melalui platform digital.

“Dengan  peruntukan  sebanyak  RM2 juta,  seramai  200  individu  dan  PKS  boleh mendapatkan  bantuan  sehingga  RM10,000. Dengan  bantuan kewangan  ini,  peniaga  boleh  membeli  stok  produk,  menaik taraf  operasi  perniagaan dengan peralatan  dan sistem berteknologi  dan mewujudkan platform  e-dagang.

“Geran  ini  terbuka  kepada  peniaga  yang  baru  sahaja  ingin  mewujudkan  perniagaan secara digital ataupun sudah pun mempunyai perniagaan secara digital sejak bulan Mac,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Individu dan PKS yang berminat mestilah berkerakyatan Malaysia serta berumur antara 18 sehingga 45 tahun dan mempunyai perniagaan di Iskandar Malaysia.

Selain itu, Ismail berkata, geran yang ditawarkan terbuka kepada peniaga yang baru yang ingin mewujudkan perniagaan secara digital ataupun sudah pun mempunyai perniagaan secara digital sejak bulan Mac tahun lalu.

“Program IMSTART ini merupakan salah satu daripada program di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia yang turut menawarkan pelbagai bantuan daripada segi kewangan dan latihan.

“Ini termasuk bantuan kewangan berkaitan perniagaan untuk kumpulan B40 dan kumpulan rentan, bantuan kewangan dan latihan untuk pertanian bandar, geran untuk perniagaan berdasarkan trak dan perkongsian fasiliti dan pelbagai lagi,” katanya.

Bagi yang berminat dan berkelayakkan boleh melayari www.iskandarmalaysia.com.my/secure dan www.iskandarmalaysia.com.my untuk maklumat lanjut.-MalaysiaGazette