JOHOR BAHRU – Pelbagai cara dilakukan oleh rakyat Malaysia bagi meluahkan rasa sayang dan semangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 esok.
Di Seri Alam, seorang warga emas menghiasi 5,000 Jalur Gemilang di sekitar kediaman dan kenderaan.
M. Kandapan, 61, mengambil inisiatif memasang ribuan Jalur Gemilang pelbagai saiz, termasuk pelekat muka pemimpin negara di kenderaannya sebagai tanda cintakan negara.
Aktiviti ini sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu ini walaupun mengeluarkan ribuan ringgit untuk tujuan tersebut.
Paling menarik, beliau yang juga seorang usahawan turut memasang replika Jalur Gemilang gergasi berukuran empat meter tinggi dan lapan meter lebar yang ditempatkan khas di luar rumahnya.
Katanya, kemeriahan sambutan kemerdekaan boleh dizahirkan dengan pelbagai cara mengikut kreativiti dan bajet masing-masing.
Apa yang lebih utama, semangat cintakan negara dan perpaduan itu harus dipupuk kepada anak-anak sejak kecil.
Ia ibarat ‘melentur buluh biar sampai rebungnya.
“Tahun ini kita pasang kolum bagi memastikan cucu-cucu rasa semangat untuk meraikan sambutan merdeka.
“Saya sangat cintakan negara, sayangkan negara, oleh itu saya mahu berkongsi rasa tersebut. Anak-anak muda apabila tidak ajar bimbang mereka lupa.
“Orang dahulu telah memerdekakan negara ini, jadi kita jangan jadi kacang lupakan kulit, oleh itu mari kita kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan merdeka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Usaha murni Kandapan, yang juga datuk kepada lapan cucu ini turut mendapat sokongan ahli keluarga.
Ketika kunjungan Malaysia Gazette di kediamannya, Kandapan bersama tiga cucu-cucunya yang berusia antara empat hingga tujuh tahun giat menyiapkan kolum berkenaan sambil memasang muzik bertemakan Kemerdekaan.
Katanya lagi, walaupun dia kini telah berusia, aktiviti sambutan seumpama ini akan tetap dilakukan setiap tahun sebagai tanda terima kasih kepada negara tercinta.- MalaysiaGazette