Home Ekonomi Pelabur asing beli RM964.33 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM964.33 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu yang berakhir pada 27 Ogos dengan menyaksikan aliran masuk berjumlah RM964.33 juta.

Ia merupakan minggu ketiga belian bersih berturut-turut oleh pelabur asing, kata MIDF Research.

Ketika pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur asing membeli sejumlah RM6.70 juta.

Sementara itu, pelabur institusi membeli RM19.16 juta bersih ekuiti tempatan tetapi pelabur runcit pula menjual sebanyak RM25.86 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu.

Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Khamis dan aliran masuk terkecil pada hari Isnin masing-masing kepada RM310.79 juta dan RM6.70 juta.

Katanya, pelabur runcit adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Isnin.

Penjualan bersih terbesar oleh pelabur runcit adalah pada hari Selasa dan penjualan bersih terkecil pada hari Jumaat masing-masing mencapai RM48.43 juta dan RM16.88 juta.

Secara kumulatif, untuk minggu ini, peruncit bersih menjual ekuiti bernilai RM113.96 juta di bursa.

Sementara itu, pelabur institusi mencatatkan jualan bersih kumulatif mingguan sebanyak RM850.37 juta.

MIDF Research berkata, pelabur institusi adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu dengan jualan bersih terbesar pada hari Khamis RM290.41 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM9.46 bilion.

Manakala pelabur institusi dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing dengan RM4.46 bilion dan RM5 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -3.82%, 9.89% dan 16.82% dalam nilai perdagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette