Home Nasional Segera kenal pasti 2.2 peratus penjawat awam belum daftar vaksin – CUEPACS

Segera kenal pasti 2.2 peratus penjawat awam belum daftar vaksin – CUEPACS

Adnan Mat Cuepacs RM1,800 minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – CUEPACS menggesa semua ketua jabatan mengenal pasti kakitangan masing-masing yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin.

Proses mengenal pasti ini perlu dilakukan segera bagi membolehkan maklum balas diterima mengenai punca mereka masih belum mendaftar.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS mengambil maklum mengenai jumlah 2.2 peratus penjawat awam yang masih tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat rumusan bahawa jumlah 2.2 peratus penjawat awam ini tidak mendaftar disebabkan mereka menolak untuk divaksin.

Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Adnan berkata, jadi apabila proses mengenal pasti ini dilakukan, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan masing-masing bagi mengetahui masalah yang timbul.

Input daripada pertemuan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, maklumat berkaitan kebaikan vaksin boleh berikan jika masih ada yang tidak mendapat maklumat yang tepat.

”CUEPACS yakin proses ini boleh meningkatkan lagi peratusan penjawat awam divaksin apabila permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan didengari dan diselesaikan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CUEPACS juga berharap kerajaan dapat menyegerakan proses vaksinasi mereka yang sudah mendaftar termasuk 30,000 penjawat awam yang masih belum memperoleh tarikh janji temu walaupun sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Jumlah 30,000 itu sebenarnya hanya sedikit sahaja dan sekiranya fokus diberikan kepada kumpulan 30,000 ini, CUEPACS yakin kesemua penjawat awam itu boleh divaksin dalam tempoh sehari sahaja melalui koordinasi dengan jabatan dan kementerian masing-masing.

Dalam hal ini CUEPACS melihat pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ke premis dan jabatan kerajaan boleh menyelesaikan proses memvaksin 30,000 penjawat awam yang belum lagi mendapat temu janji.

Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap dan proses ini boleh berjalan dengan lancar sekiranya proses vaksinasi dilakukan di premis kerajaan selain dapat mengelakkan kesesakan.

CUEPACS turut menasihatkan penjawat awam tidak mengabaikan taggungjawab mereka untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Malaysia (PICK).

Penjawat awam perlu mengambil vaksin untuk memastikan persekitaran yang selamat di jabatan masing-masing.

Keengganan segelintir untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja.

Tambahnya, pengambilan vaksin juga penting kerana penjawat awam adalah barisan hadapan yang berhadapan dengan rakyat dalam menyampaikan perkhidmatan sama ada melalui kaunter atau secara langsung di lapangan.

”Jadilah contoh terbaik kepada rakyat dengan menjadi individu pertama yang menjayakan setiap program dilakukan oleh kerajaan. Sekiranya kita mahu sektor ekonomi dibuka dengan sepenuhnya, penjawat awam perlu divaksin terlebih dahulu kerana kita semua adalah pemudahcara kepada sektor ekonomi,” ujar Adnan. – MalaysiaGazette