PUTRAJAYA – Dasar-dasar Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diperkenalkan sebelum ini akan diteruskan di samping penambahbaikan bagi menjaga dan meningkatkan kebajikan umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, dasar sedia ada akan diteruskan seperti biasa dan mengambil idea orang lain bukan bermakna ketandusan, sebaliknya meneruskan usaha yang baik.
Beliau yang menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya akan memastikan frasa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diikuti bagi memastikan semua agensi dibawahnya dapat membina masyarakat yang lebih baik serta diisi dengan program keIslaman.
Katanya, program Musa’adah Covid-19 akan diteruskan bagi membantu rakyat yang terkesan pandemik itu dan ia menjadi salah satu kerja kebajikan yang perlu dilaksanakan oleh agensi di bawahnya.
“Bermula esok saya akan memulakan tugas dan akan berbincang dengan semua ketua jabatan dan agensi bagi mencapai sasaran pencapaian awal Indeks Prestasi Utama (KPI) tempoh 100 hari pertama sebagai syarat diletakkan Perdana Menteri dan ia tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Daging Lembu dan Dapur it’am Merdeka di Masjid di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abd Aziz Jusoh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Sebanyak 700 pek daging segar dari 10 ekor lembu hasil sumbangan QSR Brands dengan kerjasama JAWI akan diagihkan kepada golongan terkesan dan memerlukan di sekitar Putrajaya.
Ia adalah sebahagian dari 3,500 pek daging segar bernilai RM300,000 yang turut diagihkan kepada penerima di sekitar Kuala Lumput dan Labuan.
Pada program sama sebanyak 100 bakul makanan berjumlah RM100,00 hasil sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diagihkan kepada golongan memerlukan di Putrajaya.
Idris berkata, beliau akan memantau KPI itu agar tercapai dengan berkerja lebih gigih dan sekarang bukan masa untuk ‘berbulan madu’ selepas diberikan tanggungjawab.
Menurutnya, beliau juga mempunyai perancangan bagi penambabaikan dan pembaharuan ddalam mempertingkat kebajikan umat Islam.
“Buat masa ini saya masih belum bersedia mendedahkan perancangan itu dan biarlah dibincangkan di peringkat jabatan dan agensi terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette