TANGGAL 31 Ogos tahun ini maka genaplah Malaysia merdeka selama 64 tahun. Jika seorang manusia mencapai umur 64 tahun dalam hidupnya, sudah pasti beliau menjadi orang yang matang, padat dengan ilmu didada dan telah melalui pengalaman hidup yang sangat bermakna. Begitulah Malaysia, selama 64 tahun dimerdekakan, rakyatnya hidup bebas dalam perpaduan dan harmoni.
Negara kita terus membangun maju dan rakyatnya masih utuh bersama-sama menjaga dan mengekalkan apa yang sudah dikecapi. Alhamdulillah. Sebagaimana yang diketahui, kita sedang diuji dengan pandemik Covid-19 yang telah hadir menghampiri 2 tahun. Dugaan ini sedikit sebanyak menggoyahkan prinsip yang ada.
Apatah lagi dikatakan kita kini di akhir zaman. Amat mudah sesetengahnya terpengaruh dengan informasi yang diperolehi dari media sosial tanpa pertimbangan dan dengan mudahnya melampiaskan perasaan untuk tatapan umum. Perasaan sedih dirasai apabila semakin ramai yang terlalu mudah melemparkan kata-kata kesat dan tidak elok bagaikan emosi telah menguasai akal.
Seharusnya akal perlu lebih tinggi dari emosi maka barulah lidah atau pemikiran yang tajam itu bersinar dan mempersembahkan coretan yang membawa makna. Tidak salah untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Tetapi sebagai rakyat yang merdeka harus ada kewarasan dan timbang balik sebelum sesuatu itu diluahkan.
Jangan mudah melatah apabila sesuatu diumumkan tidak seperti yang kita jangkakan.
Jangan mudah naik angin apabila merasakan sinar di hujung covid-19 masih malap atau samar-samar. Bertenang, berdoa dan teruskan usaha anda membendung dan melindungi diri dari penyakit ini. Memetik kata-kata seorang kawan, “Jika kita rasa sudah tiada lagi orang yang baik dan berbuat baik, maka kitalah yang perlu mula menjadi orang yang baik dan berbuat baik.”
Keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia memang kelihatan sulit untuk dibendung.
Hakikatnya ia perlu kerjasama semua pihak. Kesukaran mencari rezeki di kala ini menjadi punca rakyat tertekan malah negara juga semakin terdesak. Kerajaan yang memerintah perlu sedar kemaslahatan yang dialami oleh rakyat. Setiap tindakan seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat.
Semua SOP seharusnya dirancang dengan lebih baik agar Covid-19 dapat dibendung seiring dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pemeriksaan kepada pematuhan SOP haruslah telus dan ketat, bukannya hanya melepaskan batuk di tangga. Jika perlu, pelanggaran SOP yang kerap oleh seseorang atau syarikat haruslah diberi denda yang setimpal dan tegas agar kesalahan tidak berulang.
Rakyat juga seharusnya memahami situasi pandemik ini. Jangan hanya menganggap ia bukan masalah anda selagi belum benar-benar menimpa diri. Buanglah sikap pentingkan diri sendiri dengan tidak merdeka minda di mana dengan mudah menyebarkan informasi yang tidak benar di media sosial. Sesetengah pula memang gemar mencipta kandungan di platfom media tanpa menyelidik, malah menghasut semata-mata untuk mendapatkan tanda suka dan pengikut yang ramai. Ada juga golongan yang tetap keluar merayau walaupun dalam arahan kuarantin dan lebih teruk apabila mudah percaya kepada benda yang tidak sahih dan bukan dari mereka yang arif.
Seharusnya pemikiran bangsa yang merdeka perlulah lebih matang dan sentiasa mendorong untuk lebih memajukan bangsa ke hadapan, bukannya berpatah semula ke pemikiran yang mundur. SOP untuk mereka yang sudah cukup 2 dos vaksin janganlah dijadikan isu. Walaupun vaksin bukan jalan akhir untuk tidak dijangkiti covid-19 tetapi, sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mengekang penyebarannya dan membantu proses pemulihan. Kehadiran vaksin dilihat dapat mengawal penularan virus ini kepada peringkat serangan yang teruk.
Hormati usaha yang dijalankan dan yakin pasti ada kebaikannya dengan izin tuhan yang berkuasa. Jika tidak bersetuju dengan vaksin jagalah diri dengan baik agar tidak dijangkiti atau menjangkiti. Wujudkan sikap sama-sama berjaga-jaga jika hendak keluar ke kawasan orang ramai. Elakkan kawasan sesak kerana anda lebih mudah dijangkiti atau menjangkiti.
Berhentilah sikap asyik menyalahkan pihak lain sedangkan diri sendiri tidak betul-betul memahami situasi sebenar. Baca dan fahamkan dahulu sesuatu maklumat itu. Carilah penjelasan yang sahih sebelum anda berkongsi atau mengamalkan. Inilah yang baru dikatakan kita merdeka minda dan merdeka tindakan. Mereka yang merdeka adalah orang yang bijak melakukan sesuatu dengan betul setelah mengetahui kesan dan
akibatnya.
Di saat ini, kita sebenarnya sedang berjuang mempertahankan tanah air kita. Walaupun
bukan dengan mengangkat senjata sebagaimana pahlawan terdahulu, tetapi melawan musuh yang tidak kelihatan lebih memerlukan kekuatan emosi, akal yang waras dan kesabaran. Kita mudah mendabik dada menyatakan yang kita sanggup manggadai nyawa mempertahankan negara dari serangan musuh tetapi hakikatnya ramai antara kita yang tidak pernah berada di dalam situasi begitu.
Di waktu ini yang mana kita hanya perlu patuh SOP dan mengambil vaksin, sudah ramai yang berpaling ke belakang. Sekadar renungan untuk kita melangkah kehadapan bersama-sama. Maka baru begitulah, negara tumpah darah kita ini akan terus aman dan damai malah kekal merdeka dan semakin terus memacu kecermelangan untuk masa hadapan.
Oleh:
Dr Nor Azlina Ismail & Dr Nusima Mohamed
Pakar Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.