Home Nasional Menara komunikasi Felda Seberang Tayor terbakar

Menara komunikasi Felda Seberang Tayor terbakar

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor, Kemaman Terengganu milik Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan oleh Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile terbakar petang semalam.

Punca kebakaran yang berlaku pada jam 5.58 petang di kabin menara komunikasi berkenaan masih dalam siasatan.

Suruhanjaya Komunikasi Multi Media berkata, kebakaran tersebut telah memusnahkan semua peralatan di dalam kabin, bahagian dalam kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan namun tidak melibatkan struktur menara.

Kerosakan peralatan pada menara ini juga mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kg. Paman, Ladang Boustead, Kg. Pasir Gajah, Kg. Lubuk Lesung, Kg. Pasir Semut, Kg. Tebak dan Kg. Teladas.

Sehubungan itu, semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara tersebut telah mengambil langkah sementara dengan menggerakkan Mobile Communication Vehicle (MCV) dan Portable Base Transceiver Station (pBTS) ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap sepenuhnya, yang dijangkakan selewat-lewatnya Isnin depan. – MalaysiaGazette