Home Nasional Negara belum ‘merdeka’ selagi Covid-19 masih menular – Amirudin

Negara belum ‘merdeka’ selagi Covid-19 masih menular – Amirudin

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 yang mendesak memerlukan semua orang mengadaptasi sepenuhnya cara dan gerak kehidupan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negara tidak boleh melaungkan kata-kata ‘Merdeka!’ selagi terdapat kes jangkitan yang masih menular di negara ini mahupun negara lain.

Bagaimanapun beliau berkata, perbezaan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 berbanding tahun lepas adalah sejumlah besar penduduk negara ini telah menerima vaksin.

“Ulang tahun kemerdekaan kali ini seakan-akan ‘dejavu’ tahun lalu, apabila kita mengharungi dan menghadapi cabaran virus yang meragut lebih 14,000 nyawa dan menjangkiti sekurang-kurangnya 1,593,602 individu.

“Perbezaannya kali ini, sejumlah besar penduduk negara telah menerima vaksin termasuk sekurang-kurangnya 3,312,825 ataupun 69.75 peratus daripada populasi dewasa yang mendaftar untuk menerima vaksin,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kemerdekaan ke-64.

Beliau berkata, rakyat menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana krisis kesihatan dan politik berpanjangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Pengalaman lampau ketika melalui liku-liku cabaran penjajahan hinggalah proses pengisian kemerdekaan seharusnya mengajar kita untuk terus cekal dan berfikiran positif.

“Selepas berlakunya sejarah hitam 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak pada waktu itu mempengerusikan Majlis Perundingan Negara mengetengahkan idea dan prinsip Rukun Negara sebagai usaha mengemudi negara ke arah identiti kebangsaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette