KUALA LUMPUR – Pimpinan baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan kerajaan untuk rakyat yang mengutamakan kebajikan.
Maka pihak-pihak di luar sana diharap supaya tidak lagi mempolemikkan nama membabitkan kerajaan baharu yang dibentuk atas permuafakatan 114 ahli-ahli Parlimen.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang penting dan menjadi keutamaan kerajaan baharu ini adalah menumpukan kerja dan memastikan rakyat didahulukan.
“Cara baik usah panjangkan isu nama (kerajaan baharu).. lebih baik kita tumpukan kepada kerja.
“Ini adalah kerajaan rakyat untuk rakyat… tidak perlu berpolemik perkara ini yang pada hemah saya tidak begitu penting buat masa ini,” katanya pada sidang media di Rumah Prihatin@Hotel Grand Seasons di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pimpinan UMNO dan Bersatu yang tidak ada persefahaman dalam soal nama kerajaan baharu yang terbentuk sekarang.
Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri merujuk kerajaan baharu itu sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dipetik sebagai berkata “Saya percaya Ismail Sabri akan terus memimpin kerajaan PN” dengan fokus pada pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan dengan beberapa panduan utama selepas perbincangan dan dipersetujui bersama Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden parti Melayu itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dipetik menyatakan antara panduan itu, kerajaan perlu terus menggunakan jenama Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia dengan tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan PN.
Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kerajaan baharu ini wujud berasaskan permuafakatan yang dicapai bagi memastikan ketidaktentuan dan ketidakstabilan kerajaan akibat penarikan semula sokongan beberapa ahli Parlimen BN dalam kerajaan PN terdahulu tidak berlarutan.
Menurut beliau, ketidakstabilan atau ketidaktentuan itu perlu diatasi segera supaya rakyat tidak terkena tempias dan menjadi mangsa keadaan.
“Tujuan pembentukan kerajaan baharu atas permuafakatan ini adalah untuk segera mengembalikan kestabilan bagi meneruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PN terutama dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Nak dipanggil nama apa kerajaan itu, terpulang,” katanya.
Malah beliau juga menjelaskan kerajaan ini tidak wajar dipanggil sebagai kerajaan BN walaupun 41 daripada 114 ahli Parlimen kerajaan baharu ini adalah BN.
“Kalau dipanggil Kabinet pimpinan BN boleh tetapi bukan kerajaan pimpinan BN.. ini kerajaan rakyat yang dibentuk untuk bekerja kepada kebajikan rakyat.
“Jadi penanda aras yang diberikan untuk setiap Menteri Kabinet yang perlu ditunjukkan dalam masa 100 hari pertama pencapaiannya adalah sebenarnya bermaksud Kabinet ini untuk kerja kepada rakyat tanpa melengahkan masa,” tegasnya.-MalaysiaGazette