Home Utama Agong, Permaisuri zahir bangga dengan pencapaian Ziyad

Agong, Permaisuri zahir bangga dengan pencapaian Ziyad

Credit FB Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 walaupun kemenangan atlet itu meraih pingat emas dibatalkan.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang Ziyad memecah rekod dunia miliknya sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter walaupun keputusan jawatankuasa rayuan tidak memihak kepada atlet itu.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar Muhammad Ziyad Zolkefli bersabar dengan ujian dihadapi dan tidak berpatah semangat serta berputus asa dengan isu pembatalan kemenangan beliau.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar beliau terus berusaha serta kekal fokus untuk memburu kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang,” demikian menurut catatan itu.

Menurut catatan itu, bagi Seri Paduka, Ziyad telah memberi yang terbaik untuk diri beliau dan juga negara dan berharap semangat yang ditonjolkan oleh atlet berkenaan dapat dijadikan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, Seri Paduka turut menyeru kepada pihak berkaitan memperhalusi sebab pembatalan kemenangan Ziyad itu agar ia tidak berulang di masa hadapan.

Semalam, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa jaguh lempar peluru itu lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pingat perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi dengan catatan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece (15.93m). – BERNAMA