Home Nasional Ajaran sesat PMYT: PDRM akan ambil tindakan tegas – Hamzah

Ajaran sesat PMYT: PDRM akan ambil tindakan tegas – Hamzah

Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap satu dakwaan ajaran sesat dikenali Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diketuai seorang wanita berusia 39 tahun di negara ini.

Wanita itu didakwa menggunakan gelaran Sittah Annur dikatakan menyebarkan ajaran sesat yang dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan platform media sosial Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PDRM  akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kalau dia melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang contohnya undang-undang percetakan, kita boleh mengambil tindakan dari sudut tersebut.

“Manakala kalau dia menghasut sehingga ada orang yang berasa tidak selesa dan cuba lari dari negara kita, itu adalah sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan gusar atau takut dan kita boleh ambil tindakan mungkin Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Hamzah, KDN sebagai sebuah kementerian utama ingin memastikan segala perkara keamanan serta ketenteraman dalam negara dapat dijaga dengan baik.

“Ada macam-macam jenis manusia, perkataan boleh hasut takutkan orang itu PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kadang-kadang manusia ini tersilap makan ubat atau makan macam-macam sehingga menyampaikan tuduhan dan itu pun orang boleh terikut,” dakwanya.

Antara ramalan yang dikongsikan kumpulan tersebut termasuk bakal tercetusnya Perang Dunia Ketiga tidak lama lagi dan di negara ini letupan bermula di Sabah.- MalaysiaGazette