Home Ekonomi DASB jalin kerjasama dengan Grab lancar JMart

DASB jalin kerjasama dengan Grab lancar JMart

Hazman Hilmi Sallahuddin

JOHOR BAHRU – DASB, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) menjalinkan kerjsama dengan Grab Malaysia bagi memperkenalkan JMart – sebuah platform menggabungkan para peniaga di pasar Larkin Sentral di bawah satu bumbung.

Pengarah Urusan DASB, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan JMart kepada orang ramai khususnya sekitar Johor Bahru.

JMart menawarkan pelbagai barangan basah segar dan keperluan runcit harian di bawah satu bumbung, katanya.

“Dengan pelancaran JMart, orang ramai khususnya para pelanggan tetap Pasar Larkin Sentral akan berterusan menikmati pelbagai pilihan barangan basah segar dan keperluan runcit kegemaran dengan membuat pesanan menerusi aplikasi Grab.

“Pelanggan tidak perlu pergi ke pasar kerana barangan keperluan itu akan dihantar terus ke hadapan pintu rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazman berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi digitalisasi syarikat dan pada masa yang sama menjadi nilai tambah dan medium platform jual beli terbaharu yang berterusan kepada para peniaga.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komersial Grab Malaysia, Tan Jiong Jian berkata, sebagai sebuah portal penggerak teknologi digital, pihaknya percaya kerjasama berkenaan membantu mewujudkan akses bagi penjualan produk perusahaan kecil dan sederhana menerusi perkhidmatan mereka.

“Dengan pemintaan masa kini yang tinggi bagi pengguna yang memerlukan perkhidmatan keperluan harian dan penghantaran.

“Ia  adalah selari dengan matlamat DASB untuk memperkasakan lebih banyak  perusahaan kecil berkembang dan benar-benar mendapat keuntungan digital lebih-lebih lagi pada waktu sukar ini.

“Kami yakin pembeli akan merasa lebih selamat, mudah dan cepat untuk membeli barangan keperluan yang pelbagai sehingga ke muka pintu melalui JMart,” katanya. – MalaysiaGazette