Home Nasional Dua kapal asing sauh secara haram ditahan

Dua kapal asing sauh secara haram ditahan

Salah sebuah kapal yang ditahan kerana memasuki perairan Johor tanpa kebenaran.

KOTA TINGGI – Dua kapal tangki asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal itu ditahan pada kedudukan 17 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Johor kira-kira pukul 5 petang.

“Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Mongolia dikendalikan tujuh kru warga Indonesia dan Singapura berumur 23 tahun hingga 55 tahun mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Kapal tangki kedua pula berdaftar dari Equatorial Guinea, dengan sembilan kru warga Indonesia berumur 23 tahun hingga 59 tahun juga mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, sejak Operasi Jangkar Haram dilaksanakan pada Mac lalu, jumlah kapal yang bersauh secara haram terutama di Tompok Utara didapati telah berkurangan.

“Sehingga kini bagi tahun 2021, sebanyak 93 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri Johor.

“Sekiranya didapati bersalah dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara,” ujarnya.

Penurunan jumlah ini menunjukkan pemilik syarikat perkapalan, ejen kapal dan nakhoda mulai akur dan patuh terhadap penguatkuasaan undang-undang negara ini.

Beliau berkata, APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan di perairan negara tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara. – MalaysiaGazette