PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin mempertimbangkan untuk mewajibkan pemberian vaksinasi Covid-19 untuk menangani isu antivaksin dalam kalangan rakyat negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan nada tegas berkata, mungkin tidak lama lagi dia akan mencadangkan kepada Kabinet.
Buat masa ini, katanya, kerajaan masih kekal dengan pendirian daripada segi undang-undang tidak mewajibkan pemberian vaksin kepada rakyat.
“Saya belum sampai ke tahap itu lagi (mandatori vaksin) untuk mencadangkan kepada Kabinet untuk mewajibkanya tetapi saya hampir kepada keputusan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mesej Ahli Parlimen Rembau itu bukan merujuk kepada mereka yang enggan mengambil vaksin atas faktor perubatan tetapi atas hak pilihan peribadi.
Tambab Khairy, pihaknya sedang meneliti melaksanakan dasar ujian kendiri Covid-19 untuk melibatkan mereka yang memilih untuk tidak menyuntik vaksin.
“Mereka yang enggan mengambil vaksin berkemungkinan melalui amalan ujian kendiri bersifat sectoral persuasion atau desakan sektoral.
“Desakan sektoral tidak terkandung dalam undang-undang, tiada dalam undang-undang Persekutuan tetapi sekiranya mana-mana kilang atau syarikat menyatakan pekerjanya dikehendaki hadir ke mesyuarat atau kerja dan ia memerlukan kamu perlu ambil vaksin, maka kamu tiada pilihan lain kecuali ambil vaksin,” katanya.
“Selain itu kerajaan akan menyediakan lebih banyak keistimewaan kepada rakyat yang sudah divaksinasi sepenuhnya,” ujarnya.
Ditanya mengenai mereka yang menerima dos pertama tetapi tidak dapat meneruskan akibat faktor kesihatan, Khairy berkata, mereka dikehendaki mendapatkan surat daripada doktor dan dikenakan ciri khas dalam aplikasi MySejahtera
“Selagi mereka mempunyai bukti pengesahan doktor yang sahih bahawa mereka tidak dapat melengkapkan vaksin penuh, kita akan tampil dengan ciri khas yang menunjukkan bahawa individu berkenaan adalah tidak boleh divaksin atas faktor perubatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette