PUTRAJAYA – Malaysia dijangka memasuki dari fasa pandemik kepada fasa endemik Covid-19 menjelang akhir Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurutnya, rakyat perlu menerima hakikat sekalipun berjaya mengawal situasi daripada segi kes jangkitan, kematian dan kemasukan pesakit di hospital namun mereka perlu bersedia menerima Covid-19 akan menjadi endemik.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu menjalankan kehidupan harian bersamanya.
“Ketetapan itu dibuat konsisten dengan negara lain yang kebanyakannya sudah beralih kepada fasa endemik iaitu satu norma baharu dikehendaki untuk hidup sihat dan selamat bersamanya walaupun virus itu ada dalam kalangan kita.
“Dengan adanya usaha vaksinasi, perubahan tingkah laku, usaha SOP berterusan akan membolehkan kita memasuki fasa baharu endemik yang mana ia akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka dan kehidupan kembali berfungsi sedia kala dalam norma baharu.
“Kerajaan juga akan mengumumkan langkah-langkah untuk memudahkan SOP sedia supaya tidak banyak SOP yang mengelirukan, terlalu rumit apabila rakyat memasuki fasa baharu endemik nanti yang mana ia akan menyediakan senarai yang jelas, mudah difahami dan dipraktikkan bersama,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Khairy, apabila fasa endemik bermula akhir Oktober nanti, pemakaian pelitup muka mandatori akan diteruskan.
Kementerian Kesihatan, katanya, tidak ada perancangan untuk melonggarkan mandatori pemakaian pelitup muka disamping SOP lain juga perlu dipatuhi sepanjang hidup bersama virus Covid-19.
“Kalau di negara lain mereka telah melonggarkan mandatori pemakaian pelitup muka namun penularan dan jangkitan varian baharu virus berkenaan memaksa mereka untuk memperkenalkan semua pemakaian pelitup muka.
“Justeru, kita juga akan meneruskan pelaksanaan kuarantin kendiri dan kuarantin di rumah semasa fasa endemik dan perlu faham kalau tidak dapat patuhi syarat kuarantin di rumah, kita takkan dapat hidup bersama virus ini dengan selamat,” tegasnya.- MalaysiaGazette