Home Sukan Paralimpik Tokyo: WPA tolak rayuan keputusan lontar peluru F20 Malaysia

Paralimpik Tokyo: WPA tolak rayuan keputusan lontar peluru F20 Malaysia

Muhammad Ziyad Zolkefli.

TOKYO — Malaysia menerima berita duka apabila World Para Athletics (WPA) menolak rayuannya berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Tokyo, malam tadi.

Atlet kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang memecahkan rekod dunia dua kali dan boleh memenangi emas dalam acara tersebut telah diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) atau tidak memulakan aksi berikutan protes yang dikemukakan terhadapnya.

Protes serupa juga dikemukakan terhadap atlet dari Australia dan Ecuador yang turut diklasifikasikan sebagai DNS.

Menurut WPA dalam satu kenyataan, mereka juga menolak rayuan yang dibuat oleh atlet dari Australia dan Ecuador itu.

Keputusan itu berdasarkan Peraturan 5.5 Atlet Para Dunia – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual Bilik Menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Walaupun pasukan yang terlibat berpeluang mengemukakan segala maklumat yang relevan sebelum keputusan akhir dibuat, WPA menjelaskan bahawa juri rayuan mengekalkan keputusan pengadil dan mengesahkan keputusan sebagai DNS.

Muhammad Ziyad nyata amat kecewa selepas detik kejayaannya dalam acara lontar peluru F20 itu ‘dirampas’ daripadanya dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Atlet berusia 31 tahun itu menyangka beliau berjaya mempertahankan pingat emasnya di Paralimpik Rio 2016 ketika melakukan lontaran pada jarak 17.31m dengan percubaan pertamanya untuk memecahkan rekod dunianya pada 17.29m yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Kemudian, dalam percubaan ketiganya, beliau melontar lebih jauh dengan catatan 17.94 m, membiarkan pesaingnya jauh ketinggalan.

Episod sedih negara bermula apabila Ukraine mengemukakan bantahan kepada jawatankuasa teknikal, yang kemudian menarik balik kelayakan Muhammad Ziyad dan dua lagi- Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador dan Todd Hodgets Australia – atas alasan lambat memasuki bilik panggilan.

Maksym Koval dari Ukraine diumumkan sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m, memecahkan rekod dunia Muhammad Ziyad di London.

Seorang lagi atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi meraih perak dengan lontaran 17.30m manakala atlet Greece, Estratios Nikolaidis (15.93m) merangkul gangsa. – Bernama