SEBERANG JAYA – Dendam dipercayai punca seorang lelaki mati dibunuh menggunakan senjata dipercayai lembing dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Tun Hussein Onn Seberang Jaya di sini kelmarin.
MalaysiaGazette difahamkan pergaduhan membabitkan dua pihak tersebut bermula sejak pertengahan Ogos lalu berlarutan sebelum berakhir dengan pembunuhan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kedua-dua suspek yang terlibat dalam kes bunuh itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Dua lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, sepasukan polis membawa suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dalam keadaan bergari serta berpakaian lokap ke lokasi dipercayai dia membuang lembing yang digunakan untuk menikam mangsa.
Difahamkan, lembing itu dikerat sebelum dibuang dalam parit besar di tepi jalan berhampiran kediamannya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki maut akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai lembing dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Tun Hussein Onn Seberang Jaya.
Mangsa berusia 29 tahun itu datang bersama sekumpulan lelaki bersenjatakan parang sebelum bertindak menyerang rumah suspek di tingkat dua pangsapuri berkenaan jam 11.30 malam.
Kemudiannya berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak sebelum suspek yang berada di dalam rumah menggunakan senjata tajam untuk menyerang 10 lelaki yang berada di bahagian luar kediaman.
Mangsa dipercayai terkena tikaman pada bahagian dada susulan serangan balas daripada suspek tersebut.
Selain mangsa, dua lelaki turut cedera terkena tikam lembing tersebut.
Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 50-an yang merupakan anak serta bapa bagi membantu siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: