Home Nasional Lakaran wajah suspek kes samun penghantar makanan akan didedahkan

Lakaran wajah suspek kes samun penghantar makanan akan didedahkan

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis akan mendedahkan lakaran wajah suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun pasangan kekasih sehingga menyebabkan salah seorang mangsa hilang tangan kanan akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana jarak tempat kejadian dengan kedudukan CCTV agak jauh, wajah serta motosikal suspek tidak begitu jelas untuk dicam bagi membantu siasatan.

“Kami bagaimanapun telah selesai merakam keterangan teman lelaki yang ada bersama mangsa semasa kejadian untuk memberikan gambaran ciri-ciri wajah suspek bertujuan menyediakan lakaran wajah atau fotofit bagi mengesan suspek yang masih dicari polis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Demi nyawa, tangan kanan mangsa samun terpaksa dipotong – Polis 

Menurutnya, polis akan mengeluarkan foto fit itu secepat mungkin untuk dihebahkan kepada orang awam bagi membantu menjejaki suspek-suspek yang masih dalam buruan polis.

Orang ramai yang mengetahu tentang insiden tersebut diminta segera menyalurkan maklumat di talian 03-2052 9999 atau tampil sendiri ke mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu sekitar jam 12.10 tengah malam itu, sepasang kekasih yang merupakan penghantar makanan e-hailing mengalami kecederaan selepas tiba-tiba didekati dan diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching di sini.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan sebelum menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Malangnya pada 29 Ogos lalu, doktor terpaksa memotong tangan kanan mangsa samun itu demi menyelamatkan nyawanya.- MalaysiaGazette