KUALA LUMPUR – Polis Sentul hari ini melupuskan komputer, cakera padat video, cakera padat digital dan mesin ‘burner’ yang yang dirampas dalam serbuan kegiatan judi dalam talian sepanjang 2017 hingga pertengahan Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebanyak 133 kertas siasatan membabitkan kes perjudian dalam talian telah dibuka pihaknya sepanjang tempoh empat tahun itu.
“Kertas siasatan kes perjudian dibuka dan telah disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4A(a), Seksyen 9(1) dan Sekyen 6(1) akta sama.
“Jumlah rampasan dalam serbuan sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 886 set pelbagai peralatan perjudian komputer,” katanya ketika ditemui di Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini pagi tadi.
Tambah beliau, satu kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang dilaporkan pada 2017.
Dalam kes berkenaan katanya, sebanyak 23 mesin burner dan 85,838 VCD serta DVD cetak rompak telah berjaya dirampas polis
“Nilai semua peralatan yang dirampas dalam serbuan perjudian dan VCD serta DVD cetak rompak sepanjang tempoh itu dianggarkan berjumlah RM640,690 dan dilupuskan hari ini setelah mendapat arahan mahkamah,” tegasnya. – MalaysiaGazette