KUALA LUMPUR – Semangat Hari Kebangsaan tetap dirasai meski sambutannya peringkat nasional tahun ini serba sederhana berikutan negara masih berada dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun tanggal 31 Ogos lalu, Restoran N.U.D Kitchen di Senawang, Negeri Sembilan tetap menyemarakkan semangat cintakan tanah air dengan mengedarkan sebanyak 300 unit Jalur Gemilang kepada pelanggannya.
Pengurus restoran berkenaan, Jalaludin Musa berkata, program tersebut dianjurkan buat julung kalinya bersempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 yang lalu.
Selain itu, dalam program yang diadakan selama sejam itu, seramai 100 orang pekerja penghantar makanan GrabFood dan Food Panda telah diberikan Nasi Kandar Melayu 3 Sahabat secara percuma.
Usaha murni itu dilakukan sebagai tanda menghargai sumbangan dan pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam mendepani penularan Covid-19 termasuk para penghantar makanan.
“Insya-Allah jika ada rezeki lebih, pihak kami akan membuat aktiviti sempena Hari Malaysia Pada 16 September depan,” kata Jalaludin kepada MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, kata Jalaludin, pihaknya juga mengharapkan program itu dapat memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan dalam usaha memerdekakan negara dari pandemik.
Restoran N.U.D Kitchen terletak di pusat bandar Senawang, mempunyai cawangan Nasi Kandar Melayu 3 Sahabat Di Taipan 2, Senawang bersebelahan SME Bank – MalaysiaGazette