Home Ekonomi Ada keperluan menaikkan had hutang statutori kepada 65%

Ada keperluan menaikkan had hutang statutori kepada 65%

Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menyampaikan taklimat media di Kementerian Kewangan hari ini.

KUALA LUMPUR – Had hutang statutori negara akan dinaikkan kepada 65 peratus memandangkan paras semasa 60 peratus sekarang dijangka melepasi hadnya pada akhir tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, peningkatan itu disebabkan oleh semakan semula pertumbuhan ekonomi tahun ini yang diunjurkan antara 3.0 hingga 4.0 peratus.

Semakan semula itu susulan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

“Kerajaan mempunyai komitmen menyokong rakyat dan perniagaan, kerajaan telah banyak berbelanja dan defisit meningkat akhir tahun ini.

”Justeru nisbah hutang akan melepasi 60 peratus pada tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Oleh itu, menurut beliau, Kementerian Kewangan perlu membentangkan kepada Parlimen untuk meningkatkan had hutang statutori tersebut kepada 65 peratus.

Namun, cadangan itu terlebih dahulu akan dikemukakan kepada Kabinet terlebih dahulu.

Mengulas mengenai kedudukan fiskal negara, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan akan meneruskan dasar fiskal yang menyokong ekonomi walaupun pada kedudukan yang terhad.

Katanya, paras defisit negara dijangka kembali kepada 3.0 hingga 4.0 peratus dalam tempoh tiga dan empat tahun lagi dengan usaha konsolidasi fiskal.

Kerajaan sebelum ini telah menyemak semula defisit fiskal kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK bagi 2021 berbanding kadar defisit 5.4 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak ada keperluan melakukan pinjaman asing kerana negara mempunyai kecairan mencukupi dalam pasaran tempatan.

Pada masa ini, jumlah pinjaman kerajaan adalah dalam denominasi ringgit adalah 97 peratus dan bakinya mata wang asing. – MalaysiaGazette