SHAH ALAM – Wakil NGO kemanusiaan Selangor mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membatalkan keputusan kerajaan negeri menyahwartakan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara demi kepentingan negeri, rakyat dan alam sekitar.
Pengerusi NGO Gerak 98, Syed Putra Syed Isa berkata, mereka menentang tindakan itu kerana bimbang akan mengundang tragedi yang tidak diingini berikutan pembangunan yang dilakukan di kawasan seluas 536.7 hektar itu.
Beliau khuatir kerja pembangunan yang bakal dilakukan oleh sebuah syarikat yang memiliki modal berbayar RM1 itu bukan sahaja menyebabkan berlaku perubahan pada eko-sistem, tetapi turut memberi kesan kepada iklim di negeri itu.
Katanya, Amirudin ada membuat kenyataan balas kepada Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil pada Rabu lalu, bahawa kerajaan negeri akan menangguhkan tindakan itu.
Bagaimanapun, ujar beliau, kenyataan itu seolah-olah memperkotak-katikkan kehendak rakyat dan kepentingan adat resam kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli Temuan yang mahu penyahwartaan itu dibatalkan.
“Apa yang kita mahu ialah kerajaan negeri membatalkan kelulusan penyahwartaan hutan itu, bukan ditangguhkan untuk tempoh beberapa minggu,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan negeri di hadapan pintu masuk utama ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Sebanyak lapan NGO terlibat dengan penyerahan memorandum bantahan, iaitu Otai Reformis 98, Gerak 98, PEKA, Agamam Ani Malaysia, KitaBantuKita.Org, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Lawyers for Environmental Right dan Ecomy.
Presiden PEKA Malaysia, Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil pula berkata, tidak cukupkah pengambilan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang asalnya berkeluasan 7,246 hektar bagi pembangunan sebelum ini?
Katanya, pembangunan di Selangor sudah lengkap sepenuhnya dengan adanya Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya, Taman Rimbayu, Lebuh Raya SKVE, Gamuda Cova, ECRL, Saujana Putra, Lebuh Raya ELITE sehingga kawasan itu berbaki 957.63 hektar.
“Hakikatnya pembangunan di Selangor sudah melebihi daripada permintaan, sehinggakan 536.7 hektar yang masih ada hendak diserahkan pula kepada syarikat dari Johor.
“Walaupun kerajaan negeri mencadangkan kawasan ganti di Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam, tetapi kita tidak terima kerana kawasan hutan gambut seluas 2,400 ekar ini juga sedang rancak diteroka untuk projek SMART AGRO atau kelapa sawit,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis 98, Abdul Razak Ismail menjelaskan, mereka sekarang ini mengharapkan akan mendengar berita menggembirakan daripada kerajaan negeri susulan penyerahan memorandum bantahan itu.
Namun, katanya, jika kerajaan negeri gagal mendengar suara rakyat, tidak mustahil pentadbirannya akan diambil alih oleh parti lain berikutan kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerakusan kerajaan negeri meneroka hutan simpan.
Jelas beliau, tidak masuk akal, tanah seluas lebih 500 hektar itu diserahkan kepada sebuah syarikat bermodalkan RM1 dan tidak mempunyai sebarang justifikasi rekod kerja untuk membangunkan tanah hutan. – MalaysiaGazette