SEPANG – Kepulangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkelfi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini disambut meriah walaupun tanpa pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dibatalkan sebelum ini.
Jaguh lontar peluru negara F20 yang keluar ke balai berlepas pukul 6.53 petang disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Turut hadir, dua bekas mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Turut bersama Ziyad, dua atlit olahraga, Siti Noor Lasah dan Mohammad Ariffin, atlit renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan pemenang pingat perak Chew Wei Lun menerusi acara Boccia.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau bangga dengan kesungguhan dan pengorbanan atlet para negara yang telah bersaing di Tokyo.
Jelas beliau, walaupun tidak berada dalam prospek pingat bagi acara yang disertai, atlet para negara telah membawa pulang pingat perak melalui Wei Lun bagi acara Boccia.
“Begitu juga bagi acara lontar peluru yang tidak dapat menghadiahkan pingat kepada negara kerana insiden yang berlaku namun pencapaian Muhammad Ziyad adalah di luar jangkaan kerana beliau telah memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.
“Atlet para negara sebenarnya telah memberikan persaingan yang sengit dan terbaik dalam temasya sukan berprestij berkenaan.
“Justeru, saya yakin bahawa semua atlet para negara tetap menjadi juara di hati Keluarga Malaysia,” katanya.
Ke semua atlet bersama empat jurulatih menaiki bas ke hotel untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Pada Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.
Pembatalan pingat emas Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.
Mengulas lanjut, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin menghormati tindakan Ukraine kerana mereka mempunyai hak untuk membuat protes berhubung keputusan acara lontar peluru itu, seperti dibenarkan dalam peraturan pertandingan sukan.
Beliau juga merayu semua rakyat Malaysia agar melupakan insiden berkenaan dan kembali fokus serta bersatu memberi sokongan kepada perjuangan atlet negara dalam misi mereka mencapai sasaran membawa pulang tiga emas dari Jepun. – MalaysiaGazette