Home Pendapat Konservasi gajah dengan teknologi geospatial

Konservasi gajah dengan teknologi geospatial

Pekerja membersihkan seekor gajah selepas kerajaan membenarkan aktiviti di dalam sektor perlancongan bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2021.

GAJAH merupakan mamalia terbesar di dunia, dan hidup secara berkumpulan
antara 3 hingga 40 ekor, dengan diketuai oleh gajah betina yang paling tua.
Kumpulan gajah mempunyai hubungan sosial yang unik, dipanggil allo-mothering,
yang bermaksud semua gajah dalam kumpulan yang sama akan bersama-sama
menjaga anak gajah, walaupun anak gajah itu bukan anaknya.

Namun begitu, gajah mula diancam kepupusan, dan telah disenaraikan oleh
IUCN Red Data Book sebagai spesis terancam, kerana pelbagai faktor, termasuklah
pemburuan haram, pembalakan, kemalangan yang melibatkan gajah, dan juga
konflik antara manusia dengan gajah, selain kehilangan habitat disebabkan
pembangunan infrastruktur.

Di Malaysia, bagi melindungi gajah, Kerajaan Malaysia telah mewartakan
perlindungan gajah di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar no 76, 1972. Akta ini
memperuntukkan hukuman kepada sesiapa yang didapati menembak, membunuh,
atau memiliki sebahagian daripada anggota gajah. Akta ini boleh digunapakai
berikutan kekerapan konflik gajah dan manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan
oleh Jabatan PERHILITAN, konflik gajah dan manusia semakin meningkat setiap
tahun sejak 2006.

Selain akta, kesedaran masyarakat awam juga perlu ditambahbaik dan untuk
meningkatkan kesedaran orang ramai, Sambutan Hari Gajah Sedunia telah
diperkenalkan dan disambut pada 12 Ogos setiap tahun. Sambutan ini bertujuan
untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan kepentingan konservasi dan
perlindungan bagi gajah dan habitatnya di seluruh dunia. Konservasi telah dilakukan
oleh pelbagai pihak, dipelopori oleh Jabatan PERHILITAN, selain pihak Zoo, World
Wide Fund (WWF), dan lain-lain organisasi. Pelbagai program termasuklah pemantauan penguatkuasaan habitat gajah telah dilaksanakan, dan memerlukan kepada pengumpulan data yang baik, untuk digunakan bagi pengurusan gajah di Malaysia. Ini termasuk menggunakan satelit transmitter. Semua ini memerlukan kaedah pengumpulan data yang baik.

Data yang diperlukan termasuklah ekologi gajah, populasi, taburan serta lokasi berlakunya konflik antara manusia dan gajah. Data-data berkaitan lokasi dan aktiviti gajah ini penting bagi melindungi habitat gajah-gajah ini. Akan tetapi, data-data ini sukar untuk didapati kerana gajah yang sering bergerak dan keadaan habitat gajah di Malaysia yang terletak di dalam hutan hujan yang tebal. Data-data ini perlu mempunyai lokasi bagi setiap kedudukannya, agar data itu dapat dianalisis dengan baik dan trend pergerakan gajah dapat dikenalpasti.

Untuk itu, kaedah pemetaan geospatial yang sesuai dan terkini boleh digunakan. Pemetaan pergerakan dan habitat gajah ini boleh dilaksanakan dengan mendapatkan lokasi pergerakan gajah ini dengan baik. Menggunakan teknologi data geospatial terkini seperti data satelit, drone atau UAV (Unmanned Aerial Vehicle), LiDAR (laser imbas), dan GNSS/GPS, mampu memberikan kedudukan bagi lokasi gajah pada masa dan waktu tertentu. Selain itu data daripada kamera perangkap atau kamera intip boleh digunakan untuk mengenalpasti jenis-jenis gajah, umur, jumlah gajah per kumpulan, dan lain-lain maklumat berkaitan gajah. Kamera perangkap ini akan diletakkan pada lokasi tertentu, dan kedudukannya akan dikenalpasti menggunakan alatan GPS. Gabungan maklumat dan lokasi beberapa kamera perangkap seterusnya boleh dimasukkan dan diintegrasikan dengan data-data geospatial yang lain.

Selain itu, menggunakan teknologi drone atau UAV untuk menentukan lokasi gajah juga boleh dikenalpasti. Ini terbukti apabila teknologi drone ini digunakan oleh kerajaan China untuk memantau pergerakan sekumpulan gajah yang keluar daripada habitat asalnya, dan memasuki ke kawasan bandar di wilayah Yunnan, selatan China. Kerajaan China menggunakan pelbagai teknologi Geospatial terutama teknologi drone untuk memantau, dan membuat perancangan untuk “menarik” semula kumpulan gajah ini menggunakan umpan, pagar elektrik dan jalan buatan agar kembali semula ke dalam habitat sebenarnya. Perjalanan gajah-gajah ini mengambil masa kira-kira 16 bulan, dengan jarak sejauh lebih 700km setakat ini. Kerajaan China ketika ini masih berusaha untuk mengelakkan konflik antara gajah dengan manusia.

Data-data pergerakan gajah, jenis ekologi, dan lain-lain ini kemudiannya boleh dimasukkan dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS). GIS yang mampu memaparkan kedudukan sesuatu lokasi dengan tepat, sepertimana Google Map. Menggunakan GIS, analisis trend pergerakan kumpulan-kumpulan gajah ini boleh dikaji dengan data-data kedudukan, waktu, dan masa bagi setiap lokasi ini. Trend seperti suhu dan keadaan hujan, ketinggian pokok, bentuk mukabumi samada landai atau berbukit juga boleh didapati daripada data-data geospatial.

Daripada analsis GIS ini, kerajaan boleh mengenalpasti lokasi kawasan panas (hotspot) yang perlu dijauhi oleh manusia, selain meletakkan jarak zon penampan (bufferzone) antara kawasan kebun atau kampung dengan kawasan laluan gajah, terutama ketika musim buah-buahan. Selain itu, sempadan zon penampan ini juga boleh diletakkan penghadang seperti pagar elektrik atau penggera kecemasan yang berbunyi untuk mengelakkan kecelakaan kepada manusia. Selain usaha kerajaan membuat lebuhraya yang “ditinggikan” untuk mengelakkan kemalangan berlaku kepada gajah-gajah liar ini.

Maklumat yang telah diproses, yang dapat menunjukkan laluan dan habitat gajah ini seterusnya boleh dijadikan kawasan hutan simpan, atau digazetkan untuk mengelakkan konflik manusia-gajah di masa akan datang. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk menjaga dan memantau kumpulan gajah ini daripada pemburu haram, dengan melihat trend laluan berdasarkan masa dan lokasi pergerakan gajah-gajah ini seterusnya meletakkan renjer pada lokasi-lokasi tertentu. Maklumat daripada teknologi Geospatial diharapkan dapat mengurangkan ancaman kepupusan kepada gajah-gajah ini, seterusnya membantu pihak kerajaan membuat usaha kolektif dalam memastikan konservasi habitat gajah ini terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Semoga gajah di Malaysia terselamat dari kepupusan, dan Selamat Hari
Gajah Sedunia!

Dr Zakri Tarmidi dan Dr Noordyana Hassan
Jabatan Geoinformasi
Fakulti Alam Bina dan Ukur
Universiti Teknologi Malaysia