Home Nasional Mangsa banjir di Yan, Merbok dapat gantian LKM, LMM percuma

Mangsa banjir di Yan, Merbok dapat gantian LKM, LMM percuma

Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Mangsa-mangsa banjir di Yan dan Merbok, Kedah, baru-baru ini, dikecualikan daripada bayaran untuk mendapatkan penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang hilang atau rosak dalam bencana itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kelonggaran itu sudah dimaklumkan kepada cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, mangsa-manga banjir yang mahu berbuat demikian perlu mengemukakan laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen berkenaan, sebelum membuat penggantian LKM dan LMM.

“Kami menyampaikan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Yan dan Merbok.

“Ramai kata kerana banjir berlaku mereka hilang lesen kenderaan motor, lesen memandu hilang jadi pihak pengurusan MOT telah setuju supaya kita beri pengecualian bayaran gantian lesen LKM dan LLM baharu, kita bagi percuma, mungkin mangsa terlibat ada tempoh enam bulan lagi jadi kita ganti baru secara percuma,” katanya pada sidang media, di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, tragedi kepala air dan banjir lumpur melanda Yan, Gurun dan Merbok menyebabkan banyak kerosakan selain menjejaskan kawasan perkampungan terutama di Kampung Setol, Kampung Acheh dan Kampung Permatang Keramat. – MalaysiaGazette