Sunday, December 1, 2024
Home Sukan OKU kena berani cuba sesuatu yang baharu – Wei Lun

OKU kena berani cuba sesuatu yang baharu – Wei Lun

Atlet Paralimpik Boccia Malaysia, Chew Wei Lun yang telah meraihkan pingat perak tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara Boccia di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

SEPANG – Atlet boccia negara, Chew Wei Lun yang melakar kejutan pada Sukan Paralimpik Tokyo dengan meraih pingat perak menasihati golongan senasib dengannya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Dia berkata, tiada yang mustahil dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan.

Mengambil contoh dirinya, beliau daripada awal hanya mahu mempromosikan sukan baharu kepada orang ramai pada temasya itu.

“Dari awal tak sangka dapat pingat, niat kita pergi nak promosi sukan ini kepada rakyat Malaysia. Itu sahaja.

“Harap mereka dapat berani untuk cuba mana tahu satu hari mereka akan berjaya dan dapat pingat juga, siapa tahu,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Jepun, petang tadi.

Atlet Paralimpik Malaysia, Chew Wei Lun bercakap kepada media selepas meraihkan pingat perak ketika beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara Boccia di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

Kepulangan Wei Lun bukan hanya disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker, malah dua bekas menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memberi penghormatan kepada atlet para negara lain yang pulang dari Tokyo itu.

Wei Lun menghadiahkan Malaysia meraih perak ketiga buat negara melalui selepas tewas kepada atlet Britain, David Smith dengan skor 2-4 menerusi acara individu BC1.
Walaupun berada di ranking ke-11 dunia, Wei Lun tidak patah semangat untuk memberi saingan sengit kepada pesaingannya yang merupakan ranking pertama dunia.