GEORGE TOWN – Pasar Awam Batu Lanchang di sini, ditutup semula buat kali kedua susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan peniaga.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan sementara itu melibatkan 180 gerai bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pasar awam itu baru dibuka pada 18 Ogos lalu selepas diarahkan tutup pada 29 Julai susulan tujuh individu disahkan positif Covid-19.
“Penutupan pasar tersebut bagi membolehkan kerja sanitasi, disinfeksi serta tindakan lain dilakukan.
“Kita bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga akan melakukan penilaian Covid-19 di pasar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan selalu berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan penularan rantaian Covid-19 daalam kalangan komuniti.
Setakat ini, beberapa buah pasar awam di negeri ini diarahkan tutup ekoran terdapat kes positif Covid-19 melibatkan peniaga dan pembantu pasar.
Antara pasar yang diarahkan tutup adalah Pasar Awam Bayan Baru; Pasar Padang Tembak; Pasar Seberang Jaya; Pasar Awam Mak Mandin; Pasar Jalan Perak, Pasar Chai Leng Park dan Pasar Bukit Mertajam. – MalaysiaGazette