Home Utama Pembaharuan LKM dan LMM dilanjutkan hingga 31 Disember

Pembaharuan LKM dan LMM dilanjutkan hingga 31 Disember

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat tempoh sah dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang sudah tamat tempoh sah, tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun beliau berkata, pemilik LKM yang tamat tempoh sah masih perlu memastikan kenderaan terbabit dilindungi insurans yang sah, dan memapar serta menunjukkan Sijil Perlindungan Insurans yang sah bagi pemeriksaan.

“Kementerian Pengangkutan amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan agensi di bawahnya seperti JPJ, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk memberi pelanjutan tempoh pembaharuan LKM dan LMM hingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ka Siong berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semula kaunter JPJ di seluruh negara dan juga rakan strategik JPJ iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi semua urusan dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini.

“Pelanggan yang mahu berurusan di kaunter JPJ mesti mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan serta keselamatan orang ramai termasuk kakitangan bertugas.

“Pada masa sama, individu yang hadir juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette