Home Nasional Pulau Pinang terima bekalan vaksin dari KKM hari ini

Pulau Pinang terima bekalan vaksin dari KKM hari ini

Pulau Pinang terima bekalan vaksin dari KKM hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima 43,120 dos vaksin yang diluluskan khas oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Vaksin itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 200,000 dos yang sepatutnya dibekalkan ke negeri ini.

Difahamkan, bekalan vaksin yang diterima hari ini akan diagihkan di 17 stor simpanan vaksin.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, penghantaran pertama berjumlah 43,120 dos vaksin adalah melibatkan penghantaran ke lima daerah seluruh negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya populasi dewasa menerima suntikan imunisasi.

Chow Kon Yeow (tengah) ketika meninjau penghantaran vaksin di Klinik Kesihatan Bayan Baru di sini, hari ini.

“Rakyat memerlukan vaksinasi lengkap sesegera mungkin kerana ia merupakan perlindungan terbaik dalam meningkatkan imunisasi badan.

“Saya juga berharap dengan penambahan bekalan vaksin ini, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penghantaran bekalan vaksin berkaitan ke Klinik Kesihatan Bayan Baru di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Maarof Sudin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNPP, Dr. Rafidah Noor.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan Pulau Pinang bakal mencatatkan kadar pemberian dua dos vaksin sebanyak 60 peratus bagi populasi dewasa dalam tempoh dua hari lagi.

“Saya juga berharap kita dapat memenuhi sasaran 100 peratus populasi dewasa yang berdaftar divaksin bagi dos pertama dan 80 peratus bagi dos kedua pada bulan September ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette