SEPANG – Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meluahkan rasa sedih dengan pembatalan pingat emas yang diraihnya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang mana sepatutnya menjadi milik Malaysia.
Muhammad Ziyad, 31, berkata, perasaan itu terbit selepas persediaan latihannya selama ini bukan hanya memakan masa setahun dua selain telah memberi aksi terbaik di Tokyo.
Malah dia juga berasa janggal kerana pulang dengan tangan kosong kerana tidak pernah gagal menyumbang pingat kepada negara di mana-mana kejohanan yang disertainya sebelum ini.
“Saya rasa sangat sedih dan akan tunjuk saya kuat. Lagi pun saya sudah buat terbaik dan telah buktikan kepada semua.
“Saya jadikan apa yang terjadi sebagai pengajaran. Saya pun sudah buang semua rasa pahit dan kecewa di Lapangan Terbang Narita sebelum pulang tadi.
“Lepas ini saya akan fokus pada kejohanan datang,” katanya kepada media sebaik tiba dari Jepun petang tadi.
Muhammad Ziyad yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik di Rio, Brazil turut berkongsi pengalaman beraksi di gelanggang tanpa mengetahui status dirinya dalam keadaan protes dan tidak layak beraksi.
“Bila sudah dibenarkan masuk call room (bilik menunggu), saya hanya mahu beraksi dan menang serta catat catatan terbaik.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku dan tidak fikir apa-apa,” katanya.
Muhammad Ziyad juga berharap netizen tidak terus mengecam peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang berada di tempat kedua sebelum ini dan kini meraih emas dengan catatan rekod dunia 17.34m.
Jelasnya, tindakan netizen sehingga ada yang menyerang akaun Instagram peribadi atlet tersebut dah menyerang fizikal rakannya itu adalah keterlaluan.
Serangan ‘siber’ itu telah menyebabkan akaun pertama Maksym Koval hilang dari radar.
Sementara itu, kepulangan Muhammad Ziyad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut meriah walaupun tanpa pingat emas di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dibatalkan sebelum ini.
Jaguh lontar peluru negara F20 itu tiba pukul 6.53 petang dan disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Turut hadir, dua bekas mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Turut bersama Ziyad, dua atlit olahraga, Siti Noor Lasah dan Mohammad Ariffin, atlit renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan pemenang pingat perak Chew Wei Lun menerusi acara Boccia.
Pada Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.
Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.
– MalaysiaGazette