KUANTAN – Kerajaan Pahang buat kali kedua bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tahun 2021 kepada semua pemilik tanah berdaftar di Pahang sehingga 30 Sept ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sehubungan itu, denda lewat bayaran hanya akan dikenakan mulai 1 Okt depan.
“Keputusan ini diharapkan membolehkan pemilik tanah terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah masing-masing.
Ini merupakan kali kedua lanjutan tempoh dilakukan tahun ini dengan yang pertama pada 19 Mei lepas, apabila menteri besar mengumumkan lanjutan bayaran cukai tersebut sehingga 31 Ogos sebelum dilanjutkan lagi sehingga hujung September ini.
Tempoh bayaran akhir cukai tanah di negeri ini ditetapkan pada 31 Mei setiap tahun.
— BERNAMA