Home Utama Terengganu mula pemberian vaksin secara jumpa terus Ahad ini

Terengganu mula pemberian vaksin secara jumpa terus Ahad ini

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Terengganu (CITF Terengganu) membenarkan 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini memberikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus bermula Ahad ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam kenyataan di Facebook menyatakan langkah itu bertujuan meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin sekali gus mencapai 80 peratus imuniti kelompok yang disasarkan.

“Vaksinasi secara jumpa terus ini terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, pemastautin di Terengganu sahaja, belum mendaftar melalui MySejahtera dan belum mendapat tarikh vaksin.

“Mereka yang terlepas janji temu sebelum ini juga digalakkan hadir ke PPV terpilih yang berdekatan untuk menerima vaksin,” menurut kenyataan itu.

PPV yang terlibat dalam pemberian vaksin secara jumpa terus itu adalah Taman Tamadun Islam (TTI) dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) (Kuala Nerus); Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu); dan Dewan Gong Kemuntong dan Kota Putra Square (Besut);

PPV lain adalah Dewan Datuk Seri Amar Diraja dan Dewan Sivik Kertih (Kemaman); Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) (Dungun); Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan Dewan Sivik Bukit Payung (Marang); dan Dewan Majlis Daerah di Kuala Berang dan Ajil (Hulu Terengganu).

Waktu operasi vaksinasi di semua PPV itu bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada slot yang disediakan.

Sehingga semalam sebanyak 84.8 peratus daripada populasi dewasa di Terengganu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

— BERNAMA