KUALA LUMPUR – Balu kepada pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Perak pada Disember tahun lalu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Thava Sagayam Santhanasamy, 64, yang terlantar sakit sejak insiden itu meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.
Perkeso menerusi satu kenyataan hari ini berkata, balu mangsa, Philomena Edward, 59, layak menerima tiga faedah di bawah Perkeso selepas semakan caruman mendapati mendiang telah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) melalui pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
“Caruman yang dibuat oleh mendiang juga memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan membolehkan warisnya menerima bantuan faedah di bawah skim ini.
“Balu kepada mendiang layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang dibayar sepanjang tempoh mendiang menerima cuti sakitnya iaitu dari tarikh mula kemalangan sehingga tarikh kematian berjumlah RM12,737.32.
“Waris mendiang juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang dibayar secara bulanan seumur hidup sebanyak RM1,143.90 serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan telah menziarahi dan menyerahkan sendiri faedah Perkeso kepada balu mendiang di kediamannya di Taman Buntong Ria, Ipoh.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Komunikasi Perkeso, Izad Hj Raya dan Pengarah Perkeso Negeri Perak, Anthony Arul Dass.
Dalam pada itu, Perkeso turut menzahirkan rasa simpati dan berharap bantuan faedah yang diterima oleh balu mendiang mendiang dapat membantu meringankan beban dalam meneruskan kehidupan seharian.
Media pada Isnin melaporkan, kes pengawal keselamatan dipukul seorang lelaki di sebuah kondominium di Ipoh, Perak yang tular menerusi satu video diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia berikutan kematian mangsa pada 27 Ogos lalu akibat dipukul pada 29 Disember 2020.
Hasil siasatan polis mengenai kejadian itu mendapati ia disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anaknya menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette