Home Nasional Pemandu Myvi lawan arus di Lebuh Raya Mex

Pemandu Myvi lawan arus di Lebuh Raya Mex

Pemandu Myvi kelabu yang membawa kenderaan melawan arus di Lebuhraya MAX, berhampiran Seri Kembangan yang tular hari ini.

SERDANG – Polis sedang memburu seorang individu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya yang tular di media sosial hari ini.

Individu berkenaan memandu Perodua Myvi kelabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima laporan oleh anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pukul 1.16 tengah hari selepas mengesan rakaman video berkenaan.

Hasil siasatan mendapati rakaman video berdurasi 19 saat yang tular itu menunjukkan insiden itu berlaku sekitar pukul 11 pagi di Lebuhraya MEX.

“Hasil semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Mex Seri Kembangan juga mendapati pemandu terbabit membawa Myvi melawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan.

“Semakan di Plaza Tol Putrajaya dan R&R Seri Kembangan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, siasatan lanjut masih sedang dijalankan polis dan kita sedang mengesan pemandu terbabit untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah mempergiatkan usaha untuk mengesan pemandu dan juga kenderaan Myvi yang melawan arus di MEX itu untuk tindakan segera berlunaskan undang-undang,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video itu menunjukkan pemandu berkenaan tanpa takut membawa kereta itu secara berbahaya yang boleh mengundang kemalangan dan tidak mempedulikan kenderaan lain yang membunyikan hon memberi amaran kepada Myvi tersebut.-MalaysiaGazette